Telefon Skrin Tri-Lipat Tecno Phantom Ultimate 2 Diperlihatkan
Effi Saharudin
Bukan rahsia Huawei dan Samsung berminat melancarkan telefon pintar dengan skrin tri-lipat. Hari ini Tecno Phantom Ultimate 2 diperlihatkan dengan ia adalah sebuah peranti konsep yang juga menunjukkan aspirasi mereka untuk menawarkan produk dengan rekaan yang sama.
Sungguhpun video di atas agak pendek, ia berjaya menunjukkan bagaimana skrin tri-lipat boleh digunakan dalam kehidupan seharian. Skrin dilipat dalam bentuk huruf Z dengan ia ditarik ke tangan untuk dibuka dan bukan seperti membuka buku di peranti jenis Fold. Dalam keadaan tertutup skrin luar adalah sebesar 6.48″ sebelum berubah ke skrin 10″ dengan nisbah 4:3 apabila dibuka.

Dengan skrin terbuka sepenuhnya, video boleh ditonton di skrin yang lebih besar. Terdapat juga demo memindahkan fail dari satu aplikasi ke aplikasi lain menggunakan teknik drag and drop. Sehingga tiga aplikasi boleh dilancarkan serentak menggunakan mod multi tingkap.

Seterusnya salah satu tingkap skrin boleh dilipat untuk menjadi tapak supaya peranti boleh berdiri tegak tanpa pemegang khas. Salah satu skrin juga boleh menjadi papan kekunci dengan dua lagi skrin akan memaparkan kandungan pada saiz yang masih besar. Di belakang dapat dilihat sistem tri-kamera setiap satunya sebesar 50MP. Spesifikasi lain peranti konsep ini masih lagi dirahsiakan

Dalam kedudukan dilipat sepenuhnya, Phantom mengatakan Phantom Ultimate 2 hanya setebal 11mm tetapi nampak lebih nipis apabila dibuka. Pada ketika ini peranti masih lagi sebuah konsep tanpa perancangan untuk menjualnya dalam masa terdekat.

[sumber] Android Authority. [/sumber]