Sekatan Eksport Oleh China Menyebabkan Harga Bekalan Bahan Nadir Bumi Semakin Meningkat
Nazrin
Perang dingin diantara Amerika Syarikat dan China nampaknya bukan sahaja akan memakan diri, tetapi akan menyebabkan isu yang agak serius untuk syarikat-syarikat yang membuat komponen-komponen semikonduktor pada skala global.
Sekitar penghujung tahun lepas, kerajaan China telah mula mengenakan sekatan eksport untuk bahan nadir bumi seperti Galium dan Germanium. Germanium khususnya digunakan didalam pembuatan kabel gentian optik dan juga cip-cip pemprosesan moden.
Galium pula digunakan sebagai pengalir elektrik, dan penggunaannya meningkat apabila pengecas GaN banyak digunakan untuk mengecas peranti elektronik dengan pantas. Malah, dalam komputer, Galium digunakan didalam mentol LED yang digunakan untuk paparan-paparan skrin yang digunakan hari ini.
Hasil sekatan ini dapat dilihat hari ini, dimana setiap kali bahan-bahan ini dipasarkan ke pasaran antarabangsa, ia perlu melepasi proses pengesahan dari pihak kerajaan, yang secara lazimnya akan mengambil masa 30 ke 80 hari sebelum ia disahkan.

Tambahan kepada itu, harga bahan-bahan germanium dan galium juga dilihat meningkat. Satu kilogram germanium memperlihatkan kenaikan harga dari $1200 sekilogram ke 2600 sekilogram. Bahan galium pula sebelum ini dijual pada harga $300 sekilogram sebelum ini, dan kini dijual pada harga $530 sekilogram.
Mengeruhkan keadaan lagi untuk semua ialah China dilihat sebagai sumber terbesar untuk kedua-dua nadir bumi ini. 60 peratus daripada bekalan germanium terletak di sana, dan dari 80 ke 98 peratus sumber galium global datang dari China.
Dalam pada itu, kerajaan China juga dilihat telah mula mengumpul bekalan nadir-nadir bumi ini untuk kegunaan mereka dan syarikat-syarikat pembuat cip tempatan. Terdapat laporan yang mengatakan bahawa ia adalah untuk tujuan memesatkan lagi pengeluaran cip dan komponen semikonduktor mereka untuk melestarikan kebergantungan teknologi kepada syarikat-syarikat tempatan sahaja.
Ia dijangka bahawa pembuat-pembuat cip dan komponen semikonduktor akan perlu membayar harga mahal untuk bahan-bahan ini buat masa ini, sehinggalah kerajaan China membuka semula eksport mereka.
[sumber]Tom’s Hardware, The Register[/sumber]