Carian
Samsung Menyatakan Pengecas Pihak Ketiga Boleh Menyebabkan Cat Peranti Tertanggal
August 29, 2024 Fahim Zahar

Biasanya, isu penggunaan aksesori kuasa seperti pengecas dan kabel pihak ketiga yang ramai risaukan adalah ia akan merosakkan port pengecasan atau durasi pengecasan adalah sangat perlahan. Pernah atau tidak anda terfikir yang pengecas pihak ketiga boleh menyebabkan masalah komestik pada peranti? Jika tidak dan anda adalah pengguna Samsung Galaxy, anda kini perlu berhati-hati.

Beberapa minggu lepas, Samsung telah mengeluarkan artikel memberi amaran kepada pengguna peranti Galaxy yang penggunaan pengecas pihak ketiga boleh menyebabkan cat pada peranti terkopek. Menurut Samsung, pengecas pihak ketiga yang tidak beriktiraf mungkin tidak dibumikan dengan baik dan boleh menyebabkan arus elektrik bocor yang memberi kesan kepada penganodan. Perkara ini akan membuatkan cat peranti tertanggal.

Aksesori elektronik lain yang akan menyebabkan masalah sama adalah Electrical Muscle Stimulation yang menggunakan telefon sebagai sumber kuasa. Penggunaan aksesori ini tidak bermasalah dengan syarat pengguna tidak memegang peranti selepas alat ini diaktifkan. Samsung menyatakan jika ingin menggunakan pengecas pihak ketiga, cari dari jenama terkenal dan mempunyai pengiktirafan piawaian industri seperti Qi. Untuk lebih selamat, gunakan sahaja pengecas rasmi Samsung.

Komen