Infinix mengumumkan ketersediaan rasmi Zero 40 5G di Malaysia. Model telefon pintar kali ini hadir dengan sejumlah ciri unggul yang sedia untuk bersaing dalam pasaran telefon pintar kelas pertengahan. Ia dijual pada harga RM1699 dengan memori 12GB RAM dan storan dalaman 256GB. Ia juga boleh didapati dalam tiga pilihan warna iaitu Violet Garden, Rock Black dan Moving Titanium.
Untuk spesifikasi, peranti menggunakan skrin sebesar 6.78″ AMOLED dengan kadar segar semula 144Hz. Ini dipadankan dengan cip Mediatek Dimensity 8200, memori 12GB RAM dan storan dalam 256GB. Terdapat juga memori maya yang boleh ditambah sehingga 12GB. Bateri 5000mAh digunakan menyokong pengecasan 45W dan port USB-C.
Terdapat juga sistem dwi-kamera 108MP utama + 50MP untuk ultra-lebar dengan OIS dan swafoto 50MP disertakan. Sama seperti model sebelum, sistem kamera ini mampu merakam video 4K 60FPS. Ciri GoPro Mode juga tersedia yang membolehkan pengguna melaras tetapan secara langsung dan melihat bingkai rakaman secara langsung daripada skrin telefon pintar. Diikuti dengan beberapa ciri lain seperti pengimbas cap jari, pembesar suara stereo, ciri IP54 dan menjalankan XOS 14 berasaskan Android 14.
Infinix Zero 40 telah mula dipasarkan dan kini boleh dibeli dengan harga RM1699. Menerusi pembelian menerusi pengedar sah Infinix atau melalui pembelian dalam talian di TikTok Shop rasmi Infinix. Pembeli juga akan menerima hadiah menarik berupa Gimbal Stabilizer dan Magnetic Powerbank 10,000 mAh untuk setiap pembelian selagi stok masih ada.