Antara ciri kegemaran saya pada peranti skrin boleh-lipat adalah Intepreter yang terhad kepada peranti Samsung dan perlu menggunakan aplikasi khas dalam OneUI sahaja. Akan datang, ia mungkin menjadi lebih fleksibel kerana Google Translate mula memberikan sokongan mod dwi-skrin.
Dalam aplikasi Google Translate serba baharu, ia telah dikemaskini dengan antaramuka mengikut tema Material You. Paling menarik adalah selain mempunyai mod mendengar dan menaip yang sedia ada, ia kini mempunyai mod perbualan dan mod dwi-skrin. Mod perbualan akan membahagikan skrin dalam kepada dua bahagian, di mana bahagian atas diterbalikkan untuk perbualan bersemuka. Sementara mod dwi-skrin adalah seakan Intepreter pada peranti Samsung Galaxy yang menggunakan Galaxy AI, di mana skrin dalam adalah bahasa Inggeris dan skrin luar akan memaparkan terjemahan.
Buat masa ini, menurut sumber ia hanya disokong pada Pixel Fold, Pixel 9 Pro Fold, Galaxy Z Fold dan juga dalam ujian saya ia turut disokong pada Galaxy Z Flip6. Google Translate juga menyokong penggunaan luar talian dengan bahasa tertentu boleh dimuat turun, untuk mencuba muat turun Google Translate di Play Store melalui pautan di bawah.