Pandang Pertama Honor Magic V3 – Paling Ringan Setakat Ini
Amy Maizuraa
Honor bakal melancarkan telefon skrin boleh lipat baharu Magic V3 di Malaysia pada 5 September 2024. Ia juga merupakan hari yang sama peranti diumumkan secara global menerusi acara tahunan IFA. Kami berkesempatan untuk bertanya kepada wakil Honor mengapa pendekatan ini diambil sedangkan kebanyakan model terdahulu hanya dibawa masuk ke Malaysia selepas beberapa bulan pengenalan global.

Katanya pendekatan ini diambil bagi membolehkan pengguna menikmati pengalaman peranti baharu dengan lebih cepat malahan menjadikannya relevan dalam era digital yang terus berkembang pesat. Kami juga telah diberi peluang untuk mencuba peranti ini dengan lebih awal. Berikut artikel pandang pertama untuk Honor Magic V3.
| Honor Magic V3 | |
|---|---|
| Skrin | Luar – 6.43″ OLED, 120Hz Dalam – 7.92″ OLED 120Hz Sokong stylus |
| Pemproses | Snapdragon 8 Gen 3 (4 nm) |
| Cip | 1×3.3 GHz Cortex-X4 3×3.2 GHz Cortex-A720 2×3.0 GHz Cortex-A720 2×2.3 GHz Cortex-A520 |
| Cip Grafik | Adreno 750 |
| RAM | 12GB RAM RAM Turbo (12GB RAM) |
| Muatan Dalaman | 512GB |
| Kamera Utama | 50 MP, f/1.9, OIS (utama) 40 MP, f/2.0 (Ultra Sudut lebar) 50 MP, f/2.4, OIS (Periskop), 3.5X optikal zum 100X digital zum 4K 60P |
| Kamera Depan | 20 Megapixel f/2.45 (Depan) 4K 60p |
| Bateri | 5100 mAh Berwayar 66W Nirwayar 55W |
| SIM/Telefoni | Dwi SIM Nano /5G |
| NFC | Ya |
| Infra Merah | Ya |
| Kalis Air | IPX8 |
| Sistem Imbasan | Cap jari terbina sisi |
| Harga Jualan | Dikemaskini kemudian |
Rekaan Dan Skrin
Honor Magic V3 menggunakan rekaan skrin boleh lipat seumpama buku. Namun terdapat kelainan yang menyebabkan telefon lebih menarik dan canggih berbanding versi terdahulu. Umumnya ia dibina dengan hasil rekaan dan inovasi yang pasti menjanjikan pengalaman lebih optimum kepada pengguna.

Perkara pertama yang menarik sudah semestinya binaan tubuh yang bersaiz kompak, anggun dan premium. Ia juga telefon skrin boleh lipat paling nipis dan ringan di dunia setakat ini yang berukuran hanya 9.2mm apabila dilipat dengan berat hanya 226 gram. Malahan telefon lebih ringan daripada sebuah Galaxy S24 Ultra dan iPhone 15 Pro Max yang meskipun tidak boleh dilipat namun boleh dirasai perbezaan sewaktu kesemua peranti ini dipegang secara bersebelahan.

Seterusnya engsel telefon turut direka semula yang menggunakan keluli ringan Honor Super Steel Hinge diikuti dengan bahan baharu seperti gentian khas aerosangkasa untuk penutup belakang dan logam yang lebih kuat untuk bingkai. Engsel telefon turut menjalani ujian berat untuk menahan maksimum 500,000 kali lipatan.

Seterusnya menjadi peningkatan ketara berbanding Magic V2 yang boleh berfungsi dengan baik sehingga 400,000 kali lipatan. Pengalaman menjadi lebih baik apabila tiada langsung bunyi yang pelik atau ketara sewaktu telefon ini dibuka dan ditutup. Pada masa yang sama turut boleh ditutup rapat sepenuhnya tanpa ruang diantara skrin yang dilipat.

Nampaknya Honor bukan sahaja berjaya mencipta kelainan dalam revolusi telefon skrin boleh lipat baharunya dengan kecanggihan inovasi digunakan. Malahan meningkatkan lagi fungsinya dengan penarafan kalis air IPX8 yang bermakna pengguna tidak perlu bimbang jika terperangkap dalam hujan mahupun tumpuhan air yang tidak disengajakan kerana telefon sudah tentunya boleh mengendalikan situasi ini tanpa kerosakan.

Ini bukan cuma cakap kosong sebaliknya dibuktikan sendiri oleh Honor sewaktu sesi bersama media pada hari ini. Mereka telah memasukkan Magic V3 ke dalam sebuah akurium yang dipenuhi dengan air untuk beberapa minit dan ia masih boleh berfungsi seperti biasa sewaktu dikeluarkan semula. Bukan itu sahaja, Honor turut memasukkan Magic V3 ke dalam sebuah mesin basuh yang sedang berpusing dan ia masih boleh berfungsi dengan baik. Namun perlu dijelaskan bahawa telefon dengan penarafan IPX8 boleh bertahan daripada air tetapi masih tidak dinilai secara rasmi untuk sebarang pelindungan daripada habuk. Bermakna menggunakan ia dalam situasi yang berhabuk amatlah tidak disarankan.

Skrin bahagian luar adalah sejenis berlubang di tengah yang berukuran 6.43″ LTPO OLED dengan resolusi 2376 X 1060 piksel dan kadar segar semula 120Hz. Apabila dibuka pula telefon menawarkan skrin utama sebesar 7.92″ LTPO OLED 120Hz dengan nisbah skrin-ke-badan sebanyak 91.10% dan kecerahan puncak 1600nits. Kesan lipatan boleh dikatakan hampir tidak kelihatan berbanding sebelum ini selepas mekanisme lipatan yang lebih nipis digunakan.

Pada masa yang sama boleh digunakan dalam Hover Mode yang dalam bahawa mudahnya ciri Flex Mode untuk aplikasi seperti kamera atau main balik video di YouTube. Kemudian menarik sekali apabila Magic V3 menyokong stylus pada kedua-dua belah skrin luar dan dalam cumanya tiada tempat simpanan pada tubuh diberikan.

Butang kuasa yang juga merangkap pengimbas cap jari diletakkan pada bahagian kanan peranti. Seterusnya sisi bertentangan pula terdapatnya ruang butang laras audio yang diikuti dengan ruang slot SIM tanpa kebolehan kad mikroSD dan pembesar suara di bahagian bawah peranti. Pembesar suara adalah sejenias stereo dengan satu lagi kekisi audio di bahagian atas. Terdapat juga pemancar merah terbina yang membolehkan telefon berfungsi sebagai alat kawalan jauh.
Perkakasan Dan Perisian
Honor Magic V3 menggunakan cip Snapdragon 8 Gen 3 dengan pilihan memori 12GB RAM dan storan dalaman 512GB. Selain turut boleh dikembangkan mencapai 12GB RAM secara maya melalui fungsi RAM Turbo. Cuma kekangannya seperti biasa masih tiada kebolehan diubah sendiri seperti yang ditawarkan pada sesetengah peranti Android lain. Sementara itu perlu juga dinyatakan bahawa ini merupakan pilihan memori dan memori dan storan untuk unit yang diuji dalam artikel ini. Penawaran untuk unit komersial adalah bergantung pada pengumuman rasmi pada September nanti.

Seterusnya Magic V3 juga dilengkapi perisian MagicOS 8.1 berasaskan Android 14 dengan tetapan yang dioptimumkan bersama ciri pintar AI. Sekaligus meningkatkan pengalaman keseluruhan dalam pelbagai aspek termasuk kecekapan, prestasi dan keselamatan. Pelancar baharu ini menggunakan rekabentuk serba baharu dengan gabungan sistem warna dan gambar latar berasaskan 3D yang menarik. Selain itu model AI terbina terus di dalam setiap Magic V3 tahun ini amatlah bantu meningkatkan produktiviti pengguna.
Misalnya seperti AI Magic Portal – Circle To Do More yang boleh melakukan carian dengan hanya membuat mengetuk sekali pada skrin kemudian membuat bulatan pada objek yang ingin dicari. Proses mencari objek yang relevan hanya mengambil masa sekitar satu hingga dua saat dengan sambungan internet diperlukan. Nampak sama macam Circle To Search pada peranti Samsung tetapi sebenarnya bukan.
Cubaan ringkas mendapati ia bukan sahaja boleh mencari malahan juga dikongsi dan diakses dengan lebih lanjut melalui mana-mana aplikasi disokong sama seperti ciri Magic Portal sebelum ini. Sebagai contoh ialah tampal gambar dicari pada aplikasi Notes. Melaluinya gambar bukan sahaja boleh ditampal malahan diberi juga beberapa suntingan tambahan lain yang termasuk merekod video. Ia juga boleh digunakan untuk pelbagai tujuan lain seperti mencari lokasi, beli-belah secara dalam talian, menghantar emel dan lain-lain.

Seterusnya ialah AI Face to Face Translation yang membolehkan terjemahan masa nyata dibuat khususnya melibatkan dua bahasa berbeza tanpa memerlukan internet. Cukup menarik apabila bahasa melayu juga disokong oleh ciri berkenaan. Dengan AI Eraser pula membolehkan pengguna memadam atau mengalih keluar objek yang tidak diingini daripada gambar dengan bantuan AI. Prosesnya juga mudah dengan hanya perlu menandakan bahagian yang ingin dipadam dan sistem AI Eraser akan membuangnya secara automatik dengan sambungan internet diperlukan.
Akhir sekali ialah AI Honor Notes yang boleh menghasilkan transkripsi audio secara automatik. Ia boleh merekod dan menterjemahkan sesuatu perbualan secara masa nyata bagi memastikan pengguna tidak terlepas sebarang perkara penting. Seterusnya tidak perlu lagi mendengar semula rakaman audio panjang sewaktu melakukan temu bual bagi tujuan kerja misalnya.
Tetapan Kamera
Kamera utama menggunakan konfigurasi lensa utama 50MP, ultra lebar/makro 40MP dan periskop 50MP dengan OIS. Hanya lensa ultra lebar tidak dilengkapi sistem OIS. Sementara itu lensa periskop menyokong zum optikal 3.5X dan 100X digital. Kamera utama juga boleh melakukan rakaman hingga 4K yang menyokong mod skrin bernisbah 21:9.

Keadaan bertambah menarik apabila Honor dilihat cuba mengubah ‘permainan’ dalam fotografi mudah alih dengan kerjasama Harcourt Studio yang juga ditawarkan pada telefon baharu ini. Kelebihan lain turut boleh ditemui apabila rakaman gambar dengan nisbah 16:9 turut boleh dilakukan sekaligus menjadi peningkatan menarik berbanding peranti sedia ada. Sebahagian besar mod seperti Night, Aperature, Potrait, Photo, Video dan Pro boleh diakses dengan mudah melalui antaramuka kamera.
Terdapat juga beberapa profil warna seperti Natural, Vibrant dan Authentic disertakan bertujuan untuk memperhalusi warna serta mendapatkan imej yang lebih bermaya dan realistik. Di hadapan pula kamera swafoto 20MP digunakan dengan kemampuan merakam video beresolusi 4K.
Bateri Dan Pengecasan
Honor menggunakan bateri sebesar 5150mAh pada telefon. Ia juga lebih besar berbanding 5000mAh yang digunakan pada Magic V2 sebelum ini. Pujian diberikan buat Honor yang boleh menawarkan bateri cukup besar dalam tubuh peranti yang amat nipis dan ringan setakat ini. Kemudian peranti boleh dicas semula melalui pengecasan pantas berwayar 67W dan nirwayar 55W. Kepala pengecas turut diberikan dengan setiap pembelian bersama kabel USB-A ke USB-C.
Apa Dalam Kotak
- 1 X Honor Magic V3.
- 1 X Pengecas Honor SuperCharge.
- 1 X Kabel USB-C.
- 1 X Manual pengguna.
- 1 X Kad jaminan.
- 1 X Kerangka pelindung.
Kesimpulan

Tiada harga jualan untuk Magic V3 yang diumumkan buat masa ini. Biarpun begitu kita boleh menjangkakan bahawa harganya berapa dalam julat yang lebih kurang seperti generasi sebelum. Untuk rujukan Magic V2 berharga RM6,999 dengan pilihan memori 16GB RAM dan storan 512GB sewaktu awal pengenalan di Malaysia tahun lalu. Justeru itu, diharapkan agar Honor boleh menawarkan nilai harga yang sepatutnya untuk menjadi sebuah telefon skrin boleh lipat dominan. Sekaligus memungkinkan segmen ini dibanjiri dengan pelbagai pilihan menarik seiring kehendak pengguna semasa.
Pro
- Skrin OLED 120Hz di luar dan dalam.
- Cip Snapdragon 8 Gen 3 yang berkuasa.
- Paling nipis dan ringan setakat ini.
- Kalis air IPX8
- Pembesar suara stereo.
- Sokong stylus.
Kontra
- RAM maya tidak boleh diubah.
- Tiada ruang untuk stylus.
- Sistem pengecasan sama seperti pendahulu.