Mark Zuckerberg Mengatakan Meta AI Kini Digunakan 400 Juta Pengguna Aktif
Aman
Mark Zuckerberg kini berkongsi menyatakan Meta AI, perkhidmatan kecerdasan buatan janaan yang dibangunkan oleh mereka kini digunakan oleh lebih 400 juta pengguna aktif setiap bulan – sekaligus memperlihatkan ia digunakan oleh lebih ramai pengguna berbanding ChatGPT.
Angka ini dicapai walaupun perkhidmatan Meta AI tidak lagi ditawarkan secara meluas, dan terhad di beberapa pasaran sahaja. Malah, pengguna Malaysia juga masih belum boleh menggunakan perkhidmatan berkenaan lagi.

Meta AI ditawarkan melalui integrasi pada produk Meta, termasuk Facebook, Instagram dan juga WhatsApp. Ia disasarkan penawaran Meta AI akan terus diperluaskan menjelang penghujung 2024 ini.
Sebelum ini, ChatGPT telah berkongsi mengatakan mereka mempunyai sekitar 200 juta pengguna aktif setiap minggu yang menggunakan perkhidmatan berkenaan. Perkongsian angka oleh kedua-dua pihak ini sekaligus memperlihatkan ratusan juta pengguna yang kini kian bergantung kepada model kecerdasan buatan janaan dalam aktiviti harian masing-masing.