Carian
Acer Hadir Dengan PC Mudah-Alih Dengan Fokus Permainan Video – Acer Nitro Blaze 7
September 4, 2024 Fahim Zahar

Nampaknya semakin banyak pengeluar komputer mula melibatkan diri dengan PC mudah-alih dengan fokus terhadap permainan, berasaskan Windows. Hari ini di IFA 2024 yang berlangsung di Berlin, Acer telah melancarkan Nitro Blaze 7 untuk bersaing dengan MSI Claw, Lenovo Legion Go dan ASUS ROG Ally.

Nitro Blaze 7 hadir dengan skrin 7-inci Full HD menggunakan panel sesentuh IPS dengan kadar segar semula 144Hz AMD FreeSync Premium. Untuk cip pemprosesan, Acer tidak menggunakan ciri AMD Z1 kerana memilih AMD Ryzen 7 8840HS dengan Ryzen AI, serta dipadankan dengan GPU AMD Radeon 780M yang turut menyokong Radeon Super Resolution. Untuk memori dan storan, Nitro Blaze 7 menyokong sehingga 16GB RAM LPDDR5x dan 2TB M.2 NVMe.

Konsol gaming mudah alih Windows Acer ini turut datang dengan pelancar Acer Game Space yang menyokong pelbagai permainan daripada pelbagai platform berbeza. Untuk port sambungan, Nitro Blaze 7 menyokong 2x USB4 Type-C 40 Gbps, kad Mikro SD 4.0. Kemudian ia turut menyokong Wi-Fi 6E, Bluetooth 5.3, speaker stereo 2x 1W, 2x mikrofon D-Mic, 1x port bicu audio 3.5mm dan bateri 50.05 Wh dengan pengecasan 65W.

Untuk kawalan permainan pada konsol gaming mudah alih pertama Acer ini, ia menyokong yang standard seperti butang ABXY, butang bahu LB/RB, analog LS/RS serta analog kesan Hall LT/RT. Butang fizikal lain adalah untuk kuasa merangkap pengimbas cap jari, butang aras suara, butang akses pantas Acer Game Space, butang khas menu dan papan kekunci serta akhir sekali butang menu dan butang penukaran Mod.

Acer Nitro Blaze 7 akan dijual di pasaran Eropah bermula sekitar hujung bulan Oktober ke awal November dengan harga bermula €849 (~RM4,241) untuk model 512GB. Setiap pembelian akan disertakan sekali langganan PC Game Pass selama 3 bulan. Untuk pasaran Malaysia, wakil Acer hanya memberitahu kami – nantikan.

Komen