Qualcomm sedia menawarkan cip Snapdragon X untuk komputer riba Windows, sekaligus menawarkan sokongan masa penggunaan bateri yang lama tanpa mengorbankan prestasi penggunaan Windows. Terbaru, hari ini Qualcomm menambah portfolio penawaran cip Snapdragon X mereka, dengan memperkenalkan cip pemprosesan terbaru mereka yang membawakan rekaan 8-teras, iaitu Snapdragon X Plus.
Cip ini akan menguasakan komputer riba Windows, sekaligus turut menawarkan pengalaman kecerdasan buatan janaan CoPilot+ PC yang baik kepada pengguna melalui komputer riba yang menggunakan cip ini. Cip ini menggunakan binaan 4nm.
Qualcomm mengatakan penggunaan rekaan lapan teras pada cip ini menawarkan prestasi CPU 61% lebih pantas, selain membolehkan komputer riba berkenaan dihubungkan kepada sehingga tiga monitor melalui kuasa GPU pada cip tersebut.
Cip ini turut disertakan bersama teras pemprosesan NPU 45 TOPS, sekaligus menawarkan pengalaman yang baik ketika penggunaan kecerdasan buatan.
Qualcomm mengatakan komputer riba yang menggunakan cip Snapdragon X Plus ini akan hadir ke pasaran dalam masa terdekat. Komputer riba yang bakal ditawarkan juga dijangka berharga lebih rendah dan kompetitif berbanding yang lain di pasaran.