Acer Perkenal Monitor “UltraSpeed” Dengan Kadar Segar Semula Mencapai 600Hz
Aman
Pada acara IFA 2024 hari ini, disamping pengenalan komputer riba terbaru, serta beberapa produk memfokuskan permainan video, pihak Acer turut hadir dengan sejumlah penawaran monitor atau panel paparan yang baharu.

Menjadi fokus utama pada pengenalan ini adalah siri monitor “UltraSpeed” yang hadir dengan kadar segar semula mencapai 600Hz. Monitor bersaiz 24-inci, Acer Nitro XV240 F6 ini turut menyertakan masa respon 0.1 ms G-to-G, menjadikannya sebuah monitor yang paling pantas di pasaran pada hari ini. Monitor ini juga turut dilengkapi dengan persijilan VESA DisplayHDR 400, serta menawarkan sokongan liputan gamut warna 95% pada DCI-P3. Monitor ini menawarkan paparan pada resolusi FHD.
Selain pengenalan model ini, Acer turut menawarkan model Nitro XV270 F5, yang menyertakan monitor bersaiz 27-inci dengan resolusi FHD serta kadar segar semula 520Hz. Monitor ini menawarkan kadar respon 0.5 ms G-to-G, serta sokongan HDR10.
Buat masa ini, ia masih tidak diketahui lagi bilakah monitor ini akan ditawarkan di pasaran Malaysia, dan berapakah tanda harganya kelak.