Carian
Acerpure Ingin Menjadi Peneraju Barangan Elektrik Rumah Di Asia Pasifik
September 5, 2024 Fahim Zahar

Hari ini di Berlin, Acer telah mengadakan beberapa sesi temuramah bersempena pelancaran produk baharu mereka untuk Internationale Funkausstellung Berlin 2024 (IFA). Kami berkesempatan menemuramah Andrew Hou selaku Presiden Acer untuk pasaran Asia Pasifik dan beliau telah berkongsi sesuatu yang menarik mengenai penawaran tablet Android mereka dan juga Acerpure.

Pertama sekali mengenai Acerpure, Acer ingin menjadi peneraju barangan elektrik rumah untuk pasaran Asia Pasifik. Setiap negara akan mempunyai penawaran berbeza mengikut permintaan pengguna serta penerimaan barangan elektrik rumah dari pengeluar komputer. Misalnya di India, televisyen pintar Acer telah ditawarkan sementara di Filipina – mereka akan menerima pendingin hawa Acer. Bukan itu sahaja, khusus untuk pasaran terpilih nanti – pengering rambut dan vakum seakan Dyson turut akan menjadi fokus baharu Acerpure.

Perkara ini diteruskan kerana hubungan rapat Acer dengan pembekal dan pengilang kerana produk-produk yang ditawarkan secara tidak meluas ini. Ia turut menyumbang kepada ekonomi negara tersebut seperti di India yang barangan Acerpure dipasang dan dikilangkan di sana. Secara perlahan, Acer mahukan orang ramai yang menggunakan Acerpure lebih mengenali Acer. Akan datang produk seperti speaker mudah alih, barangan memasak dan banyak lagi turut akan ditawarkan.

Untuk penawaran semula tablet Android di bawah siri Iconia, Andrew Hou berkongsi ia adalah satu eksperimen untuk melihat penerimaan orang ramai terhadap produk Android mereka. Ia adalah satu projek yang mempunyai risiko rendah kerana permintaan penggunaan tablet bukan iPadOS masih tinggi. Jika pada tahun ini tiga tablet yang telah dilancarkan menerima sambutan baik, Acer akan cuba memberi fokus baharu kepada produk kategori ini.

Komen