YouTube hari ini memperkenalkan ciri kawalan kandungan yang lebih baik kepada ibu bapa untuk mengawal kandungan yang ditonton oleh anak remaja dan yang dipanggil ‘Family Center Hub’. Menerusinya ibu bapa boleh menghubungkan akaun mereka dengan akaun anak untuk mendapatkan pemberitahuan dan maklumat berkaitan jenis kandungan video yang ditonton.
Ciri ini juga membolehkan ibu bapa melihat aktiviti saluran anak remaja mereka termasuk bilangan muat naik, langganan dan ulasan. Ibu-bapa juga akan turut menerima pemberitahuan email mengenai perkara penting seperti apabila anak mereka memuat naik video atau memulakan penstriman langsung.
Ciri baru seumpama ini adalah salah satu langkah dalam komitmen berterusan YouTube untuk meningkatkan keselamatan penggunaan platform berkenaan disamping memberikan kawalan yang lebih besar kepada ibu-bapa untuk memantau aktiviti anak-anak mereka.