Google Map Akan Membenarkan Ulasan Ditulis Menggunakan Nama Samaran
Rihhadatul Aisy
Google dilihat sedang dalam usaha untuk membangunkan satu ciri baru dalam Google Map. Ciri yang dibangunkan ini kelak akan membolehkan pengguna untuk membuat ulasan dan komen tanpa menggunakan nama asli dan gambar profil yang disambungkan dengan akaun Google mereka. Ciri seumpama ini memberikan lebih kebebasan untuk pengguna meninggalkan pendapat mereka tanpa bimbang akan isu berkaitan privasi.

Kemudian, ia juga bertujuan untuk menjadikan lebih ramai pengguna lebih selesa dan berasa selamat untuk berkongsi pengalaman dan memberikan ulasan jujur. Walaupun begitu, wujud juga kerisauan dan potensi masalah misalnya seperti sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pengguna yang dikhuatiri akan menggunakan ciri ini meninggalkan ulasan palsu. Demikian itu, Google dijangka akan menerapkan sistem kawalan yang sewajarnya untuk mengatasi masalah sedemikian.
Meskipun belum ada tarikh sebenar bilakah ciri ini akan diberikan secara rasmi kepada semua pengguna, namun ia dijangka akan tersedia dalam beberapa bulan sahaja lagi. Diharapkan ciri ini kelak akan meningkatkan kualiti ulasan di Google Map dan sekaligus menjadikan pengalaman penggunaan lebih baik.
[sumber] Android Authority [/sumber]