Siri Realme 13 Pro Akan Dilancarkan Di Malaysia Pada 19 September
Effi Saharudin
Peranti Realme 13 Pro 5G dan Realme 13 Pro+ 5G akan dilancarkan di Malaysia pada 19 September depan. Ini disahkan sendiri oleh laman rasmi Realme Malaysia hari ini. Ia hadir seminggu selepas Realme 13 dan Realme 13+ dilancarkan di India.

Berdasarkan spesifikasi peranti yang telahpun dilancarkan di India pada Julai lalu, Realme 13 Pro+ 5G dilengkapi skrin OLED 6.7″ FHD+ 120Hz, dijana dengan cip Snapdragon 7s Gen 2, memori 12GB RAM, storan 512GB, dan bateri 5200mAh yang menyokong pengecasan pantas 80W.
Tri-kamera digunakan pula terdiri dengan 50MP Sony LYT-600 (periskop) + 50MP Sony LYT-701 (utama) + 8MP (ultra-lebar) bersama OIS. Kamera swafotonya pula sebesar 32MP yang diletakkan dalam lubang kecil pada skrin hadapan. Ciri-ciri lain yang ada pada peranti ialah pembesar suara stereo dengan Hi-Res Audio, kalis air IP65 dan pengimbas cap jari terbina di skrin.

Seterusnya Realme 13 Pro 5G turut menggunakan skrin OLED 6.7″ FHD+ dengan kadar segar semula 120Hz. Ini dipadankan dengan cip Snapdragon 7s Gen 2, memori 12GB RAM, storan dalaman 512GB dan bateri 5200mAh dengan pengecasan 45W.
Kemudian sistem kameranya pula terdiri dengan 50MP Sony LYT-600 (utama) + 8MP ultra-lebar bersama OIS di belakang dan swafoto sebesar 32MP. Sekali lagi tiada sokongan sensor periskop diberikan di sini seperti yang terdapat pada versi Pro+. Ciri-ciri lain yang ada pada peranti ialah pembesar suara stereo dengan Hi-Res Audio, kalis air IP65 dan pengimbas cap jari terbina di skrin.