Laravel Menerima Suntikan Dana Berjumlah $57 Juta – Laravel Cloud Akan Datang
Aman
Laravel merupakan salah satu kerangka PHP yang ditawarkan dalam bentuk sumber terbuka dan secara percuma dalam membangunkan pelbagai aplikasi web. Ia digunakan secara meluas di seluruh dunia oleh para pembangun, dan hari ini, Laravel mengumumkan telah menerima suntikan dana berjumlah $57 juta dalam terus memperkembangkan penawaran mereka.
Suntikan dana ini dijangka akan digunakan terutamanya dalam pembangunan dan penawaran Laravel Cloud. Ia adalah penawaran yang telah diumumkan baru-baru ini, memudahkan para pembangun untuk terus menerbitkan aplikasi Laravel mereka secepat mungkin.
Berbeza dengan Laravel Forge atau Vapor yang menggunakan penyedia infrastruktur luar, Laravel Cloud adalah sebuah platform dimana Laravel menguruskan infrastruktur dan pengoptimasian sepenuhnya. Ini sekaligus memudahkan pengurusan dan penerbitan aplikasi Laravel anda dengan lebih pantas – dalam masa kurang seminit, dan mudah dioptimasikan.
Dengan perkembangan ini, sama-sama kita nantikan apakah lagi pembaharuan yang bakal dibawakan oleh syarikat memfokuskan penawaran sumber terbuka ini, dan fasa seterusnya Laravel.