Carian
SKMM / MCMC Berkongsi Lanjut Berkenaan Pelaksanaan Lencongan DNS
September 7, 2024 Aman

Salah satu perkara yang menjadi perbualan hangat selama sehari dua ini adalah berkenaan dengan pelaksanaan lencongan DNS oleh penyedia perkhidmatan internet di Malaysia, sekaligus membawa kepada pelbagai pihak menyatakan ketidak-puas hatian, dan membincangkan berkenaan dengan perkara ini di media sosial. Menyentuh mengenainya, pihak SKMM atau MCMC telah berkongsi beberapa perkara berkaitan dengannya bersama kami di Amanz hari ini.

Sebelum itu, bagi anda yang tidak mengetahui akan berkenaan DNS, mungkin boleh membaca nukilan kami sebelum ini berkenaan dengan DNS yang membantu kita melayari internet.

Kenapa Lencongan DNS Di Laksanakan?

MCMC mengatakan mereka telah membincangkan perkara ini sejak penghujung tahun lepas bersama syarikat telekomunikasi dan penyedia perkhidmatan internet. Namun, baru-baru ini, MCMC telah menetapkan tarikh pelaksanaannya adalah berkuat-kuasa 30 September 2024 ini.

Lencongan DNS ini dikatakan dilaksanakan dalam usaha melindungi pengguna tempatan dan kumpulan rentan daripada laman-laman berbahaya yang mempamerkan kandungan lucah, perjudian serta yang menyalahi undang-undang. Langkah telah diambil dalam melakukan sekatan pada web-web berkaitan, tetapi lambakkan laman dibawah kategori berbahaya yang terdapat di internet membuatkan pihak MCMC mengambil langkah melakukan lencongan DNS ini.

Setakat ini, mengikut perkongsian MCMC, laman-laman yang dihalang aksesnya terdiri 70% melibatkan kandungan judi dan lucah, 14% melibatkan kandungan yang melanggar hakcipta, 2% kandungan pelacuran, 2% kandungan scam penipuan, dan 12% kandungan lain-lain yang melanggar akta termasuk penjualan data peribadi, penjualan produk tak berdaftar dan pinjaman tidak sah.

Menurut MCMC, mereka tidak memantau sebarang aktiviti atau trafik internet. Semua syarikat telekomunikasi melakukan lencongan DNS ke pelayan masing-masing, dan ia tidak dikawal oleh MCMC. Pihak MCMC hanya terlibat dengan pemantauan sahaja.

Mengapa Tidak Dikongsikan Kepada Pengguna Dengan Lebih Awal?

Pihak MCMC mengambil maklum perkara ini, dan sepatutnya dikomunikasikan dengan jelas kepada pengguna lebih awal. Kali pertama MCMC berkongsi berkenaan hal ini secara awam adalah pada bulan Ogos 2024 lepas. MCMC mengatakan mereka akan bertindak lebih telus dan berkomunikasi dengan para pengguna secara lebih jelas bergerak ke hadapan.

Adakah VPN Akan Dihalang?

MCMC tidak akan menghalang perkhidmatan VPN. MCMC menekankan lencongan DNS ini dilakukan dalam usaha melindungi pengguna dan golongan rentan daripada kandungan berbahaya.

Adakah Kerajaan Akan Mengawal Kandungan Yang “Menghentam” Kerajaan?

MCMC mengatakan tidak. Sekiranya sesuatu kandungan melanggar atau menyalahi undang-undang didapati di sesuatu web, pihak MCMC akan memaklumkan dan memberikan notifikasi kepada pihak berkenaan, dan meminta pembangun laman web berkenaan mengambil tindakan yang sepatutnya. Sekiranya kandungan yang dianggap berbahaya dan melanggar akta berkenaan tidak diambil tindakan dalam masa yang ditetapkan, pihak MCMC akan memilih untuk “kuarantin” atau menghalang akses ke laman berkenaan.

MCMC menekankan akan memaklumkan kepada pemilik laman web melalui medium komunikasi yang didapati melalui sesuatu laman berkenaan. Sekiranya sesuatu laman telah dihalang akses (kerana tidak dapat dihubungi atau tiada maklumat komunikasi pada laman berkenaan), maka pihak berkaitan boleh menghubungi MCMC dalam membincangkan untuk mengembalikan akses kembali.

​​Untuk pastikan Kerajaan dan MCMC tidak menyalahgunakan kuasa, mana-mana syarikat atau pihak yang laman webnya disekat tetapi didapati tidak melanggar undang-undang, maka pemilik laman berkenaan boleh melakukan rayuan kepada MCMC. Sekiranya ia disekat terus, maka perkara berkenaan boleh dicabar di tribunal dan mahkamah.

Kenapa MCMC Tidak Memaparkan Notis Halangan Seperti Sebelum Ini?

MCMC tidak memberikan maklumat penuh mengapa tiada lagi notis halangan dipaparkan pada sesuatu laman seperti sebelum ini. Namun, mereka mengatakan akan membawa untuk membincangkan implementasinya kembali.

Untuk makluman, sebelum ini sekiranya sesuatu laman dihalang, ia akan memaparkan notis halangan SKMM/MCMC, serta sebab disebaliknya. Ketiadaan notis berkenaan membuatkan kini ramai keliru akan berkenaan dengan halangan – walaupun kadang-kala sesuatu web tidak dapat diakses disebabkan faktor teknikal web berkenaan atau capaian internet.

Bagaimana Dengan Kesan Kepada Kadar Pendam Untuk Permainan Atas-Talian?

MCMC menekankan yang mana mungkin ramai pemain atas-talian akan risau ia memberikan impak terhadap akses atau kadar pendam ketika bermain. Menyentuh mengenainya, MCMC mengatakan ia sepatutnya tidak membawa sebarang kesan, dan sekiranya terdapat sebarang pemasalahan, pengguna boleh menghubungi pihak penyedia perkhidmatan internet dalam mengatasi masalah kadar pendam dan kelajuan rangkaian berkenaan.

Mengapa Agensi Atau Kementerian Lain Turut Boleh Lakukan Halangan Akses?

Seperti ramai sedia maklum, laman ArtStation telah dihalang akses baru-baru ini, dan ia dikatakan bukan dilakukan pihak Kementerian Komunikasi, sebaliknya oleh KPDN.

MCMC mengatakan sebarang pihak berkuasa atau agensi berkaitan boleh lakukan halangan (tertakluk kepada akta) dengan menghubungi pihak penyedia telekomunikasi secara terus, dan memaklumkan kepada MCMC berkenaan dengannya. Halangan ini tertakluk kepada akta sedia ada (dibawah agensi berkenaan) yang dilanggar oleh sesuatu laman berkenaan, termasuk seperti penyalahgunaan, penawaran barangan palsu / tiruan dan sebagainya. Sekiranya sesuatu penyedia laman mendapati ia tidak sepatutnya dihalang, maka boleh mengemukakan rayuan kepada pihak tribunal, dan perkara berkenaan akan disemak kembali. 

Pihak MCMC turut menekankan sekali lagi menyatakan mereka akan menghubungi pihak pemilik terlebih dahulu sebelum sesuatu halangan dilakukan.

Adakah Senarai Pelayan DNS Penyedia Perkhidmatan Telekomunikasi Akan Dipaparkan Umum?

MCMC mengatakan semua pelayan DNS boleh disemak secara teknikal oleh para pengguna. Ia tidak dikongsikan lagi berkenaan sama ada senarai pelayan DNS oleh penyedia perkhidmatan telekomunikasi ini akan dikongsikan secara awam atau sebaliknya.

Komen