Honor kini mengumumkan pengenalan pembantu maya dikuasakan kecerdasan buatan yang bakal disertakan bersama-sama peranti mereka, dinamakan Yoyo. Yoyo bakal hadir ke pasaran China terlebih dahulu dalam masa terdekat, dan pasaran antarabangsa akan menyusul selepas itu.
Untuk makluman, Yoyo sedia ditawarkan sebelum ini, dan melalui kemaskini baharu, ia menyertakan integrasi kecerdasan buatan dalam memberikan respon lebih baik kepada pengguna, dan memahami konteks perbualan. Langkah Honor ini adalah sama seperti Apple melakukan naik-taraf Siri dengan integrasi kecerdasan buatan baru-baru ini.
Dengan langkah ini, pengguna boleh meminta pembantu maya melakukan sejumlah perkara melibatkan dalam peranti mahupun pada sesuatu aplikasi, dan ia akan melaksanakan arahan berkenaan. Disamping itu, ia juga turut boleh mempelajari kaedah penggunaan seseorang pengguna, dan seterusnya memberikan lebih cadangan, sekaligus memudahkan urusan harian.
Selain Honor, pihak Samsung sebelum ini turut telah menyatakan bakal memperkenalkan Bixby yang diintegrasikan bersama kecerdasan buatan tidak lama lagi.