Google Meet Mengemaskini Antaramuka Aplikasi Untuk Pengguna Android
Rihhadatul Aisy
Google telah mengumumkan kemaskini terbaru untuk semua pengguna Google Meet pada peranti Android. Kemaskini ini telahpun tersedia untuk semua pengguna dengan paparan antaramuka yang lebih bersih, kualiti video yang dipertingkatkan bersama kawalan yang lebih mudah dan ringkas.

Perubahan yang paling ketara dalam kemas kini ini ialah pengenalan video tepi-ke-tepi (edge-to-edge). Ini menjadikan paparan kandungan video akan terlihat lebih menyeluruh pada skrin dimana tiada lagi bar hitam di sekeliling paparan video.
Peletakan butang kawalan juga lebih mudah untuk dicapai dan diakses. Selain itu, paparan maklumat mesyuarat juga menjadi lebih jelas. Tajuk mesyuarat, peserta dan butiran lain yang berkaitan akan dibentangkan dalam format yang lebih menonjol dan mudah untuk dibaca.

Menerusi kemas kini seumpama ini, ia pastinya memperlihatkan hasrat Google untuk menjadikan pengalaman membuat panggilan video pada peranti menjadi lebih lancar dan menyeronokkan. Tidak kira sama ada menggunakan telefon pintar atau tablet, pengguna kini boleh mendapatkan pengalaman membuat panggilan video yang lebih memuaskan.