Sebanyak hampir 44 juta peranti boleh pakai yang termasuk gelang tangan dan jam tangan pintar telah dipasarkan secara global pada Q2 menurut laporan terkini IDC. Huawei adalah pengeluar dengan pegangan pasaran terbesar pada suku ini dengan 20.3% diikuti dengan Xiaomi (13.5%), Apple (13.5%), Samsung (6.1%) dan BBK (6.6%).
Huawei mencapai pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 55.1% seterusnya menerajui pasaran global peranti boleh pakai selama dua suku berturut-turut. Pasaran China memainkan peranan utama dalam kejayaan Huawei walaupun penghantaran global keseluruhan menyaksikan penurunan sedikit 0.7% berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Kejayaan tersebut turut disumbang oleh populariti untuk Huawei Watch Fit3 di seluruh dunia. Selain itu berjaya mengembangkan bahagian pasarannya di beberapa rantau seperti Timur Tengah dan Afrika, Amerika Latin, dan Eropah Tengah dan Timur.
Xiaomi pula ditangga kedua dengan penghantaran sebanyak 5.9 juta yang turut menyaksikan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 17.5% yang diyakini didorong oleh pelancaran siri Redmi untuk pilihan mesra bajet. Diikuti dengan beberapa model mewahnya seperti Watch S3 dan Watch 2 yang juga menunjukkan prestasi terbaik. Rangkaian peranti boleh pakai Xiaomi dijangka terus berkembang dengan pelancaran produk baharu bagi tempoh separuh tahun kedua 2024.
Peranti boleh pakai Apple dilihat terjejas oleh persekitaran makroekonomi global dan persaingan sengit daripada Huawei dan Xiaomi yang menawarkan alternatif lebih berpatutan. Dengan pelancaran produk baharu yang akan datang esok dijangka mampu meningkatkan prestasi pasarannya yang merosot buat sementara waktu ini.
Dalam pada itu Samsung berada di tangga keempat senarai dengan penghantaran sebanyak 3.3 juta unit. Ia turut menyaksikan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 28.4% yang didorong oleh pelancaran produk Galaxy Fit 3. Menarik juga apabila Samsung sebenarnya masih mampu mengekalkan kedudukan yang kukuh di pasaran yang juga dijangka meningkat pada masa mendatang.
Akhir sekali BBK yang merangkumi pengeluar seperti Oppo dan Vivo yang melengkapkan carta dengan penghantaran sebanyak 2.9 juta dan bahagian pasaran 6.6%. BBK menunjukkan permintaan yang kukuh untuk jam tangan pintar kanak-kanak khususnya di China.
IDC turut menyatakan bahawa pertumbuhan peranti boleh pakai khususnya di pasaran China telah melebihi pasaran global disebablan oleh kadar pertumbuhan pesat pengeluar China. Selain turut didorong oleh aspek perbezaan harga, aktiviti promosi kebanyakan jenama dan minat pengguna terhadap isu kesihatan yang membawa kepada pembangunan segmen ini.