AMD dijangka akan memperkenalkan siri kad grafik AMD Radeon RX 8000 mereka tidak lama lagi, dan dalam satu temu-bual bersama-sama Tom’s Hardware, telah memperlihatkan sedikit sebanyak tentang strategi pemasaran syarikat tersebut apabila bercakap mengenai penawaran kad grafik mereka.
Menurut Jack Huynh, Timbalan Presiden dan Pengurus Besar Computing and Graphics Business Group di AMD, tugas beliau dengan penawaran-penawaran pemproses grafik AMD ialah untuk mendapatkan perkongsian pasaran komponen grafik yang lebih tinggi, berbanding mengejar NVIDIA untuk takhta kad grafik paling berkuasa.
AMD sudahpun mencuba taktik tersebut sebelum ini, tetapi Jack Huynh jujur mengatakan bahawa ia tidak pernah membuahkan sebarang hasil yang baik untuk mereka. Oleh kerana itu, mereka telah mengalihkan fokus mereka kepada membangunkan produk kelas pertengahan yang mampu milik dan baik yang boleh dinikmati dan dimanfaatkan oleh lebih banyak lapisan masyarakat.
Dalam sektor cip pemprosesan grafik AMD dilihat menguasakan dua daripada konsol-konsol permainan video yang popular sekarang, iaitu Sony PlayStation 5 dan juga Microsoft Xbox Series X dan Series S. Ini juga dikira sebagai kejayaan tentang bagaimana sejumlah besar dari sektor gaming global dikuasakan oleh penawaran oleh AMD.
Ini tidak termasuk juga konsol-konsol PC mudah-alih seperti ASUS ROG Ally, Lenovo Legion Go dan Acer Nitro Blaze 7 yang baru diumum yang menggunakan cip pemprosesan AMD Ryzen untuk menguasakannya.
Fokus terhadap pengeluaran komponen pemproses grafik kelas pertengahan dan mampu milik bukanlah bermakna bahawa AMD akan meninggalkan pasaran kad grafik premium. Jack Huynh mengatakan bahawa walaupun ini adalah fokus mereka untuk sekarang, kelak apabila penawaran grafik mereka semakin matang lagi, ia tidak akan menjadi sesuatu yang mengejutkan apabila AMD kembali bersaing dengan NVIDIA untuk takhta kad grafik premium dengan prestasi terbaik.