Tecno telah memperkenalkan rangkaian teknologi AI generatif baharu yang dinamakan sebagai AI Vision. Ia kelak digunakan di dalam seluruh ekosistem peranti pintar Tecno pada masa akan datang, di samping memungkinkan pengalaman yang lebih baik untuk pengguna.
Terdapat peningkatan ketara untuk pembantu maya Ella yang kini diintegrasikan dengan Gemini bagi meningkatkan kebolehan perbualan peranti dalam mewujudkan interaksi lebih menarik. Seterusnya memberikan respons yang lebih peka terhadap konteks yang dibincangkan. Ciri menarik lain ialah transkripsi dan terjemahan panggilan masa nyata. Melaluinya pengguna boleh mendapatkan transkripsi secara automatik sewaktu panggilan masuk, dan ia menyokong lebih daripada 20 bahasa yang masih belum diperincikan buat masa ini.
Melalui AI Writing pula, pengguna boleh meringkaskan teks, memeriksa tatabahasa, menulis semula kandungan dalam pelbagai bahasa dan juga menghasilkan teks baharu. Lebih baiknya lagi apabila terdapat juga ciri seumpama Circle-to-Search dinamakan sebagai AI Search yang membolehkan carian imej menjadi lebih mudah dengan bantuan AI. Sementara itu, AI Artboard pula menawarkan keupayaan untuk mencipta karya seni berdasarkan arahan teks mudah. Diikuti AI Vision yang dapat dapat merakam butiran mesyuarat dan meringkaskannya.
Selain itu mana-mana benda asing yang mengganggu gambar pula boleh sahaja dipadam dengan mudah menggunakan ciri AI Eraser. Kemudian AI Portrait Beautification memberi kebebasan kepada pengguna untuk menyesuaikan bentuk rupa masing-masing pada imej. AI Cutout pula memudahkan proses memangkas gambar untuk mencipta imej baharu lebih berkuali tinggi.
Bukan sahaja imej pegun malahan rakaman video turut boleh disunting menjadi lebih baik melalui fungsi AI Video Production. Di mana ia bukan sahaja boleh membantu pengguna menulis skrip malahan menambah teks pada video. Tiada butiran lanjut mengenai peranti akan Tecno yang akan dilengkapi ciri ini. Namun diyakini boleh hadir dalam masa terdekat.