Sony akan mengumumkan konsol Sony PlayStation 5 Pro pada jam 11 Malam ini. Ini disahkan sendiri oleh Sony menerusi akaun media sosial PlayStation lewat malam semalam. Sebuah pembentangan akan dilakukan oleh Mark Cerny yang merupakan ketua bahagian rekaan dan senibina permainan video di Sony.
Terdapat pelbagai spekulasi mengenai konsol paling berkuasa Sony bakal terungkai malam ini. Pengenalannya diharap akan dapat meningkatkan semula jualan konsol PlayStation yang mula perlahan sejak awal 2024. Model lebih berkuasa diperkenalkan pada pertengahan kitaran PlayStation 5 yang kini sudah berusia hampir empat tahun.
Tidak diketahui sama ada PS5 Pro akan dapat memberikan nafas baharu kepada Sony kerana PS4 Pro yang dilancarkan lapan tahun lalu hanya menyumbang kepada sekitar 15% jualan keseluruhan siri PS4.