Siapa tidak suka akan bateri telefon pintar yang bertahan untuk jangka masa panjang? Google Pixel 9 Pro XL yang saya gunakan mempunyai SOT 8 jam pun saya sudah hargai, tetapi bagaimana jika ada telefon dengan SOT sehingga 2 hari? Oukitel WP30 adalah telefon tersebut dan ia baru dilancarkan di IFA 2024 minggu lepas.
Oukitel WP30 hadir dengan bateri 11000mAh yang dikatakan boleh bertahan sehingga 2 hari untuk penggunaan biasa. Bukan itu sahaja, bateri gergasi ini turut menyokong pengecasan pantas 120W yang boleh mengecas peranti dari 0% ke 100% dalam masa 45 minit atau 0% ke 50% dalam masa 30 minit. Peranti ini dijana dengan cip Dimensity 8050 yang dipadankan dengan memori dan storan 24GB (12+12) RAM LPDDR4X + 512GB UFS 3.1.
Terdapat dua skrin pada Oukitel WP30, satu di depan iaitu OLED 6.78-inci FHD+ 120Hz dan skrin belakang bersaiz 1.8-inci OLED 390 x 450 untuk kawalan kamera dan notifikasi. Skrin belakang turut mempunyai puluhan tema muka jam tersendiri. Kamera belakang adalah 108MP Samsung S5KHM2SP03 + 20MP Sony Night Vision IMX350 + 5MP Makro GalaxyCore GC5035 dan kamera swafoto pula adalah 32MP Sony IMX616.
Seperti iPhone 16, Oukitel WP30 turut mempunyai butang fizikal tambahan untuk pelbagai akses pantas ke aplikasi dan fungsi kegemaran. Keunikan peranti ini adalah ia dibina untuk tahan lasak dengan pengiktirafan piawaian IP68, IP69K serta menerima penggredan tentera MIL-STD-810H. Sokongan NFC dan pengecasan nirwayar termasuk pengecasan nirwayar berbalik turut masih disertakan.
Oukitel WP30 masih menjalankan Android 13. Ketika artikel ini ditulis, Oukitel WP30 disenaraikan dengan harga jualan $529.999 iaitu sekitar RM2,315. Laman Shopee rasmi Oukitel Malaysia buat masa ini masih belum menyenaraikan WP30. Sama-sama kita nantikan.