GoPro hari ini mengumumkan dua kamera aksi baharu iaitu HERO (2024) dan HERO13 Black di Malaysia. Setiap kamera ini menawarkan ciri baharu unik yang dibina berdasarkan teknologi khusus yang dipatenkan oleh GoPro. Misalnya seperti HERO 13 Black menampilkan sistem kanta yang boleh ditukar tetapannya secara automatik, sokongan GPS dan bateri lebih besar. Sementara itu HERO (2024) pula merupakan kamera paling kecil dan ringan yang pernah dihasilkan GoPro dengan kualiti imej 4K.
Harga jualan adalah bermula RM999 untuk GoPro HERO (2024). Sementara itu, GoPro HERO13 Black ditawarkan pada harga RM1,999 untuk kamera sahaja dan Creator Edition pula meningkat kepada RM3,199 dengan Volta Power Grip, Media Mod dan Light Mod diberikan bersama.
HERO 13 Black boleh menangkap imej pegun pada resolusi 27MP dan merakam video pada resolusi sehingga 5.3K (60fps) bernisbah 8:7 menggunakan sensor CMOS 1/1.9″ yang sama seperti HERO12 Black. Teknologi penstabilan imej digital HyperSmooth 6.0 terbina dalam kamera adalah lebih baik malahan dilengkapi ciri baharu iaitu keupayaan menangkap video gerak perlahan 400FPS/720P.
Peningkatan paling menarik pada model tahun ini ialah sistem kanta boleh ditukar ganti bermakna boleh mengenal pasti mod yang sesuai untuk sebarang tangkapan diambil secara automatik. Selain turut direka semula dengan bateri Enduro 1,900mAh lebih besar untuk ketahanan yang panjang dalam semua keadaan bersama ciri GPS terbina yang boleh menjejak masa, tarikh, lokasi, kelajuan dan ketinggian.
Dalam pada itu terdapat juga aksesori tambahan seperti Contacto Magnetic Door dan Power Cable Kit yang membolehkan kamera ini berfungsi walaupun tiada bateri di dalamnya menggunakan sumber tenaga luar. GoPro juga menambah sejumlah Lens Mode pelbagai guna iaitu Hero Black (HB)-Series yang termasuk Ultra-Wide Lens Mod, Macro Lens Mod, Anamorphic Lens Mod dan ND Filter 4-Pack yang menjadi aksesori wajib buat setiap pencipta kandungan. Akhir sekali GoPro turut membuat beberapa pengubahsuaian pada sistem pelekap kamera yang kini lebih memudahkan penggunaan tetapi dijual secara berasingan.
HERO (2024) ialah kamera 4K paling kecil dan ringan yang pernah dihasilkan oleh GoPro. Ia menawaekan rekabentuk yang kompak dengan berat hanya 86-gram sahaja. Ia juga boleh menangkap imej pegun pada resolusi 12MP dan merakam video pada resolusi sehingga Ultra HD 4K dengan teknologi penstabilan HyperSmooth.
Kemudian turut kalis air sehingga 4.87m (16 kaki) dan dibina cukup tahan lasak untuk bertahan dalam pelbagai keadaan kegunaan sama ada lumpur, salji, air atau hanya meneroka bandar baharu. Dari segi hayat bateri, GoPro mendakwa bahawa HERO (2024) boleh merakam secara berterusan sehingga 100 minit pada tetapan video tertinggi dengan sekali cas.