Kerajaan Australia dilaporkan kini sedang mempertimbangkan undang-undang bagi menyekat akses platform media sosial bagi golongan bawah umur negara berkenaan. Perancangan ini turut disokong oleh Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese dengan beliau turut mencadangkan umur minimum yang bersesuaian iaitu seawal usia 14 hingga 16 tahun. Walau bagaimanapun, had umur akhir akan ditentukan selepas rundingan dibuat.
Keputusan kerajaan Australin ini didorong berikutan kebimbangan yang semakin meningkat tentang kesan negatif penggunaan media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok terhadap kesihatan mental, sikap dan corak tidur yang sekaligus menjadi risiko kepada peningkatan kadar kemurungan dan juga buli siber dalam kalangan golongan muda.
Demikian itu, untuk mengatasi masalah berkenaan, kerajaan bercadang untuk memperkenalkan sistem pengesahan umur mandatori untuk melarang penggunaan media sosial. Tindakan ini kelak mungkin akan memerlukan pengguna untuk memberikan bukti umur menerusi pengesahan kad pengenalan, pasport atau lesen memandu.
Larangan ini pastinya menimbulkan pelbagai perdebatan dalam kalangan masyarakat termasuk ibu bapa dan pakar teknologi. Sebahagian berpendapat larangan seumpama ini adalah perlu dan sebahagian lagi merasakan tindakan seperti ini adalah melampaui batas kuasa kerajaan dan seharusnya ibu-bapa yang perlu lebih bertanggungjawab dalam memantau aktiviti dalam talian anak-anak.
Sekiranya, undang-undang ini diluluskan kelak, Australia akan termasuk dalam sebilangan kecil negara yang telah melaksanakan sekatan yang sama seperti United Kingdom, Perancis dan Jerman.