AMD kini mempunyai dua teknologi grafik yang digunakan untuk tujuan yang agak berbeza. Pertama ialah RDNA yang digunakan untuk menguasakan kad grafik untuk tujuan gaming, dan kedua pula ialah CDNA yang digunakan untuk menguasakan kad grafik di pusat data untuk tujuan seperti mengolah objek 3D, melakukan pengiraan kompleks dan sebagainya. Dua teknologi ini dipisahkan untuk membolehkan mereka bergerak dan dibangunkan secara berasingan sekitar 2019, apabila RDNA diperkenalkan untuk pertama kalinya.
Mengikuti langkah NVIDIA, yang menggunakan teknologi teras CUDA untuk melakukan kesemua tugasan-tugasan ini, AMD telah membuat keputusan untuk melakukan benda yang sama, menggabungkan teknologi RDNA dan CDNA untuk melakukan kedua-dua tugasan ini menggunakan teknologi grafik yang sama.
Ia dipanggil UDNA.
Ini adalah untuk membolehkan jurutera-jurutera AMD untuk membangunkan sebuah produk yang lebih baik, dimana hanya satu penawaran diperlukan untuk pengguna biasa dan pusat data memanfaatkan kepelbagaian ciri-ciri sebuah kad grafik, dari kebolehan mengolah grafik untuk permainan komputer ke kebolehan mengolah objek 3D ataupun beresolusi tinggi dan melakukan pelbagai tugasan pembelajaran mesin dan kecerdasan buatan, sesuatu yang semakin meningkat di kalangan pengguna biasa hari ini.
Ini akan memperbaiki isu AMD dimana mereka mempunyai dua pasukan bekerja untuk dua produk berbeza apabila tenaga kerja kedua-dua kumpulan ini boleh digunakan untuk membina satu produk baik yang boleh digunakan untuk pelbagai jenis tujuan.
Buat masa ini, AMD tidak memberi sebarang pengesahan tentang bilakah mereka akan mula memperkenalkan teknologi grafik UDNA ini, tetapi kita kini tahu bahawa mereka akan melancarkan siri kad grafik RDNA 4 mereka tidak lama lagi, dan ia juga hampir pasti bahawa mereka sekurang-kurangnya separuh jalan dalam membangunkan teknologi RDNA 5, jadi UDNA mungkin akan diperkenalkan selepas itu.
Kami pasti bahawa AMD masih lagi akan mengekalkan perbezaan model kad grafik seperti AMD Radeon dan AMD Instinct, tetapi secara ringkasnya, kedua-dua siri kad grafik ini akan menggunakan teknologi grafik UDNA yang sama didalamnya.