Canon EOS C80 telah dilancarkan sebagai kamera dengan sensor bingkai penuh yang direka khusus untuk pembuat filem dan produksi langsung. Ia juga dikatakan mampu meneruskan kejayaan beberapa model terdahulu sebagai sebuah kamera serba boleh yang dapat menghasilkan filem yang berkualiti tinggi.
Untuk spesifikasi, EOS C80 dilengkapi sensor 26.7MP (35mm) CMOS bingkai penuh yang dipadankan dengan cip pemprosesan imej DIGIC DV 7. Sistem penstabilan imej lima paksi disertakan dalam badan kamera yang menggunakan lensa RF Mount ini. Sensor juga menyokong tiga julat ISO standard diantara 800, 3200 dan 12,800 untuk penghasilan semula imej yang berkualiti tinggi dapat dihasilkan. Selain itu menampilkan sistem Dual Pixel CMOS AF II baharu dengan kemampuan menjejak yang meliputi keseluruhan bingkai. Sistem ini menyokong penjejakan manusia dan haiwan seterusnya kelajuan bacaan sensor yang lebih pantas pula membolehkan autofokus menjadi lebih responsif.
EOS C80 boleh merakam video sehingga 6K/30P menggunakan sensor ultra lebar, atau sehingga 4K/60P melalui sensor 35mm apabila menggunakan codec Cinema RAW LT (‘light’). Canon melengkapkan lagi kamera dengan format rakaman filem seperti XF-AVC, XF-HEVC S dan XF-AVC S yang kesemuanya juga menyokong rakaman video sehingga 4K/60P dalam kedalaman warna 4:2:2 10 bit. Terdapat juga sokongan gerak perlahan untuk kadar bingkai sehingga 4K/120P dengan autofokus sehingga 120P. Diikuti dengan profil gamut warna C-Log2 dan C-Log3 bersama mod kanta anamorfik dengan kemampuan 2.0X, 1.8X dan 1.3X.
Sambungan wifi juga disertakan yang membolehkan kamera dikawal daripada jauh menggunakan aplikasi Canon Multi-Camera Control pada peranti Apple. Ia termasuk kawalan untuk tetapan dedahan cahaya, melaras focus dan sebagainya. Slot dwi kad SD pula menyokong kad SD, SDHC dan SDXC yang juga membenarkan kamera merakam video yang sama melaluinya. EOS C80 juga menyokong dua bateri baharu BP-A30N dan BP-A60N, dengan kemampuan beroperasi maksimum 335 minit untuk rakaman berterusan.
Harga jualan adalah $5499 (~RM23,832) dengan jualan rasmi bermula November 2024.