Cetakan 3D ialah teknologi yang cukup berguna dengan ia telah berjaya mengembalikan fungsi pada barangan yang tidak lagi disokong alat ganti oleh pengeluar. Potensi cetakan 3D juga disedari oleh agensi angkasa lepas kerana ketika melakukan misi jauh dari bumi, komponen alat ganti yang boleh dicetak apabila diperlukan akan memastikan misi dapat diteruskan. Terkini Airbus dan Agensi Angkasa Eropah (ESA) mengumumkan kejayaan melakukan cetakan 3D berasaskan logam buat pertama kali di angkasa lepas.
Eksperimen dilakukan di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) bulan lalu dengan mesin dihasilkan oleh Airbus dengan kerjasama Cranfield University dari United Kingdom. Wayar tahan karat digunakan dalam mesin pencetak ini dengan bahagian logam dipanaskan menggunakan laser bagi menghasilkan lapisan. Ia akan sejuk dengan lebih pantas membolehkan lapisan seterusnya pula dihasilkan untuk melengkapkan proses cetakan 3D.
Sebanyak empat komponen 3D logam berjaya dicetak menggunakan mesin prototaip pertama. Cetakan 3D berasaskan logam adalah lebih sukar berbanding cetakan 3D kerana suhu lebih tinggi serta bahas binaan yang lebih kompleks. ia menjadi lebih sukar di angkasa lepas kerana tiadanya graviti dan bahaya kebakaran boleh memusnahkan kapal angkasa. Oleh sebab itulah eksperimen cetakan 3D berasaskan logam ini dilakukan dalam kebuk tertutup yang tersendiri.
Kejayaan eksperimen pertama ini meningkatkan lagi kefahaman manusia tentang cabaran untuk mencetak objek di angkasa lepas. Kali pertama cetakan 3D dilakukan di ISS ialah pada tahun 2014 dengan ia adalah berasaskan plastik.