Carian
Ladang Solar Terapung Dibina Di Tasik Kenyir
September 11, 2024 Effi Saharudin

Ladang solar terapung pertama Malaysia terletak di Manjung Perak dengan ia diusahakan oleh pihak TNB Genco. Kini sebuah lagi ladang solar terapung akan dibina di Tasik Kenyir, Terengganu. Projek yang menelan belanja RM2 bilion ini akan menjana 400MW tenaga elektrik dalam tempoh enam bulan pertama operasi. Kemudian prestasi janaan kuasa akan ditingkatkan ke 2000 MW.

Projek pembinaan ladang solar terapung ini dilakukan oleh TNB Genco bersama dengan Terengganu Inc dengan sasaran meningkatkan kapasiti janaan kuasa elektrik negeri sehingga 25% menjelang 2030. Ia juga adalah satu lagi usaha kerajaan negeri menyokong agenda kebangsaan untuk meningkatkan pemasangan panel solar serta menggunakan tenaga elektrik daripada sumber lestari.

Ladang solar Empangan Chenderoh, Manjung

Bagi pihak TNB pula, empangan ini adalah sebahagian Projek Solar Terapung Hibrid Hidro (HHFS)  yang terdiri daripada Empangan Hidro Chenderoh, Empangan Hidro Temenggor dan Empangan Kenyir.

Tasik Kenyir ialah tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara dengan keluasan 260,000 hektar. Ia wujud sejak 1985 selepas Empangan Kenyir dibina bagi menjana kuasa untuk Stesen Janakuasa Sultan Mahmud.

Antara kelebihan membina ladang solar di permukaan air empangan ialah ia menjimatkan penggunaan tanah, mengekalkan habitat semula jadi dan mengurangkan pengewapan air. Pada waktu yang sama ia turut membantu mengurangkan pencemaran dan menyokong biodiversiti dengan kadar gangguan yang minimum kepada ekosistem akuatik.

Komen