Direct Air Capture (DAC) ialah sejenis teknologi yang dicipta sejak 1999 untuk membantu dalam memerangkap gas karbon dioksida dari udara secara terus. Akan tetapi, ia juga mempunyai sejumlah kekurangan yang agak ketara seperti had memerangkap udara hanya sebanyak dua ribu tan gas karbon dioksida dari udara setiap tahun, dan kosnya yang setinggi beberapa ratus dolar Amerika Syarikat untuk setiap tan.
Oleh kerana ini, Google telah bekerjasama dengan sebuah syarikat teknologi DAC baru yang dinamakan Holocene untuk mempercepatkan proses memerangkap gas karbon dioksida dari udara ini, dan untuk mengurangkan kosnya ke hanya 100 USD untuk setiap tan yang diperangkap, disamping menyimpan gas ini untuk kegunaan industri dan sebagainya.
Kerjasama ini adalah strategik untuk kedua-dua pihak. Untuk teknologi DAC, dua bahagian yang digunakan ialah bahan kimia dan juga bahagian menyedut udara untuk mengasingkan gas karbon dioksida daripada komponen udara yang lain.
Walaupun Holocene ialah sebuah syarikat yang baru, mereka sedang membangunkan bahan kimia yang menggunakan asid amino dan bahan organik lain untuk mengurangkan kemudaratan terhadap alam sekitar. Gas yang diperangkap ini kemudiannya akan dipadatkan untuk disimpan dalam bentuk cecair dan akan disimpan oleh syarikat tersebut untuk pelbagai jenis kegunaan kemudian, seperti ais kering dan sebagainya.
Dari segi penyimpanan, kerjasama diantara Google dan Holocene ini membolehkan syarikat tersebut untuk menyimpan sebanyak 100 ribu tan gas karbon dioksida pada awal 2030. Angka ini adalah satu permulaan sahaja, kerana menurut Google, kita perlu mengurangkan berbilion-bilion tan gas karbon dioksida dari atmosfera bumi menjelang 2050 untuk menghentikan perubahan iklim dan glasshouse effect yang semakin memporak-perandakan ekologi bumi dengan suhu panas hari ini