Bluesky, salah satu laman sosial yang diposisikan sebagai alternatif untuk Twitter kini memperkenalkan ciri perkongsian video pada platform mereka. Sebelum ini, Bluesky sekadar membolehkan perkongsian teks dan gambar sahaja, dan penambahan ini membolehkan pengguna berkongsi video dengan mudah.
Namun, beberapa had masih dikekalkan pada perkongsian video melalui Bluesky. Antaranya ialah setiap perkongsian hanya terhad kepada satu video sahaja, yang berdurasi 60 saat. Setiap pengguna boleh memuat-naik sehingga 25 video sehari atau berjumlah 10GB sehari.
Bluesky menyasarkan perkongsian melibatkan sukan, politik, berita dan sebagainya akan menggunakan ciri perkongsian video ini – selari dengan perkembangan komuniti Bluesky secara keseluruhannya.
Bagi anda yang menggunakan Bluesky, boleh mengemaskini aplikasi ke versi terkini, dan menikmati ciri baharu ini.