Taobao Memperkenalkan Antaramuka Bahasa Inggeris Untuk Pengguna Malaysia
Ikhwan Nazri
Taobao merupakan salah satu laman edagang yang popular digunakan di China, namun mungkin belum mencapai populariti tinggi di Malaysia jika dibandingkan dengan yang lain kerana paparan Bahasa Cina yang mungkin menghadkan pengalaman pelanggan dalam membeli produk yang ditawarkan. Hari ini mereka telah mengumumkan pilihan Bahasa Inggeris untuk pengguna Malaysia.

Tidak terhad dengan sekadar pilihan Bahasa Inggeris yang semestinya memudahkan pengguna tempatan membeli-belah, Taobao juga turut memperkenalkan proses Pemulangan Semula Tempatan di mana barangan yang ingin dipulangkan pengguna akan dihantar ke pusat agihan tempatan, tanpa perlu menunggu lebih lama jika proses pemulangan tersebut memerlukan barang dipulangkan ke pekedai di China. Ini sekaligus meningkatkan keyakinan pengguna untuk memilih produk yang terjamin.


Selain dari itu pengguna turut boleh memilih cara pengeposan, sama ada pengeposan secara jalan udara sepantas 3-5 hari bekerja, atau memilih jalan laut bagi pengeposan lebih murah yang akan mengambil masa 10-14 hari bekerja. Malah pengguna juga dapat menikmati penghantaran percuma sekiranya barangan tersebut bernilai lebih RMB 199 (~ RM 121 ). Taobao sendiri telahpun menawarkan penghantaran percuma untuk pembelian pakaian bermula Ogos yang lalu.

Anda boleh memuat-turun aplikasi Taobao di Apple App Store dan juga Google Play Store, dan pemilihan Bahasa Inggeris akan diaktifkan apabila anda selesai melakukan log masuk. Dengan pilihan Bahasa Inggeris mungkin kita boleh melihat lebih banyak promosi dari Taobao untuk pengguna tempatan.