HMD Barbie Flip Phone 4G dilancarkan pada penghujung Ogos dengan ia memadankan rekaan warna merah jambu ikonik watak Barbie dengan rekaan peranti katup retro yang popular pada awal 2000an. Peranti ini akhirnya telah dilancarkan di Malaysia pada harga RM699 sebuah.
HMD bekerjasama dengan Mattel untuk memperkenalkan telefon ini dengan menyasarkan pengguna yang ingin membebaskan diri daripada sebuah telefon pintar moden dengan ia tidak mempunyai sebarang aplikasi.
Ia sekadar boleh melakukan panggilan telefon, menghantar SMS, dan mengambil gambar menggunakan kamera sebesar 0.3MP. Malahan sistem operasi khusus Barbie OS memberikan tema pada antaramuka, nada dering, ikon ciri, gambar latar belakang dan beberapa ciri Easter Egg tersembunyi. Panel luar mempunyai kemasan berkilat membolehkan ia digunakan sebagai cermin.
Peranti hadir dengan skrin 1.77″ di bahagian luar dan 2.8″ di bahagian dalam, dijana oleh cip Unisoc T107, RAM sebesar 64MB, storan sebesar 128MB dengan sokongan mikro SD 32GB dan bateri 1450 mAh yang menawarkan tempoh percakapan menggunakan telefon selama 9 jam. Terdapat juga bicu audio 3.5mm, speaker dan pengecasan USB-C.