Siapa ingat lagi akan permainan video mudah alih Flappy Bird, yang suatu hari dulu pernah menjadi sensasi. Ia sangat mudah dimainkan dan boleh membuatkan pemain ketagih sehingga menyebabkan pelbagai pergaduhan serta pembangun asalnya Dong Nguyen menarik aplikasi dari Play Store dan App Store. Kini selepas 10 tahun, Dong Nguyen sudah bersedia dan ingin melancarkan semula Flappy Bird.
Aplikasi versi baharu ini dikembalikan oleh The Flappy Bird Foundation Group iaitu kumpulan peminat setia Flappy Bird dan mereka akan bekerjasama dengan Nguyen. Flappy Bird generasi baharu ini akan dibangunkan untuk iOS dan akan dilancarkan pada tahun 2025.
Flappy Bird baharu akan mempunyai lebih banyak watak burung iaitu Trixy, Peng, Quirky dan Tekno. Kemudian beberapa mod permainan baharu turut akan ditawarkan seperti EZ Mode yang asas dan mudah, Think You Got Game? yang lebih mencabar serta Rivals untuk bermain bersama 99 pemain lain. Berdasarkan video acah, ganjaran dalam permainan turut akan diberikan.
Butiran aplikasi seperti harga langganan, belian dari dalam aplikasi atau versi Android masih tidak diketahui. Apa yang pasti adalah Flappy Bird generasi baharu dilihat cuba mengekalkan tema asal dengan grafik piksel 8-bit serta bentuk permainan tatal-sisi (side-scrolling).