Carian
Bumi Dahulu Mungkin Mempunyai Gelang Seperti Zuhal
September 17, 2024 Effi Saharudin

Zuhal, Neptun, Uranus dan Musytari adalah empat planet dalam sistem solar yang mempunyai gelang. Zuhal mempunyai gelang yang paling ketara dengan ia terhasil selepas dua bulan bertembung dan pecah beberapa ratus juta tahun lalu. Tetapi kini saintis mengeluarkan teori baharu bumi juga pernah mempunyai gelang hampir setengah bilion tahun lalu.

Kajian terkini daripada penyelidik dari Monash University di Australia mengatakan bumi mempunyai gelang sekitar 466 juta tahun yang lalu iaitu ketika Tempoh Ordovisi. Teori kewujudan gelang mengelilingi bumi muncul selepas melihat 21 kawah hentakan yang wujud pada tempoh tersebut.

Grafik oleh Oliver Hull – Monash University

Saintis mendapati semua kawah wujud di sekitar 30 darjah daripada Garisan Khatulistiwa yang menurut kebarangkalian adalah sesuatu yang tidak seharusnya berlaku kerana meteor sepatutnya menghentam permukaan bumi secara rawak.

Oleh itu besar kemungkinan hampir 500 juta tahun lalu, sebuah asteroid terperangkap oleh tarikan graviti bumi dan kemudiannya pecah berderai. Serpihan asteroid ini kemudiannya membentuk gelang yang mengelilingi bumi seperti serpihan bulan Zuhal. Serpihan asteroid yang membentuk gelang ini kemudiannya menghujani bumi selama beberapa puluhan juta tahun dan ia menghasilkan 21 kawah yang ditemukan penyelidik.

Gelang ini juga menghalang cahaya matahari daripada permukaan bumi yang menyebabkan bermulanya Zaman Ais Hirnantian yang berkekalan selama 1.4 juta tahun. Penyelidik akan meneruskan lagi kajian untuk melakukan simulasi pembentukan gelang mengelilingi bumi dan bagaimana ia kemudiannya hilang sehingga tidak lagi wujud sekarang.

Komen