GSM Association (GSMA) sedang membangunkan ciri yang akan membolehkan mesej yang dihantar antara Android dan iOS menyokong sistem penyulitian hujung-ke-hujung (E2EE). Dengan penyulitan ini, mesej yang dihantar oleh pengguna tidak boleh dipintas dan kemudiannya dibaca oleh pihak ketiga.
Ia akan dilakukan menggunakan piawaian RCS Universal Profile yang sudahpun menyokong E2EE tetapi hanya pada peranti Android sejak tahun lalu. iPhone hanya mula menyokong RCS minggu ini selepas peranti dikemaskini ke iOS 18. Antara alasan yang diberikan Apple untuk tidak menyokong RCS sebelum ini adalah kerana mereka menggunakan sistem penyulitan sendiri menerusi iMessage.
Ini akan menjadi kali pertama penyulitan pemesejan diseragamkan antara platform pengkomputeran yang berbeza. Kepada pengguna, ia akan memberikan manfaat perlindungan yang lebih kukuh daripada penipuan dan ancaman keselamatan yang lain.