Snap, syarikat sebalik perkhidmatan sosial Snapchat, hari ini memperkenalkan kemaskini terbaru untuk kaca mata pintar mereka, Spectacles. Generasi kelima kaca mata pintar ini ditawarkan kepada para pembangun terlebih dahulu, dan tidak diketahui lagi bilakah ia akan ditawarkan kepada pengguna awam.
Spectacles meneruskan fokus terhadap kandungan realiti-terimbuh, membolehkan pengguna memakainya dan mengalami integrasi antara dunia nyata dan maya dengan mudah. Ia dikuasakan dengan dua cip Snapdragon yang membahagikan tugasan pemprosesan serta mengurangkan penggunaan tenaga, sekaligus menawarkan masa penggunaan berterusan sehingga 45 minit.
Snap turut mengatakan ia memaparkan gambar yang jelas dan tajam melalui panel paparan yang dipancarkan ke kaca mata, selain memberikan pengalaman seumpama melihat paparan 100-inci pada jarak 10 kaki.
Menguasakan kaca mata pintar ini adalah Snap OS, yang turut dioptimasikan untuk navigasi berasaskan tangan mahupun suara. Sistem operasi baharu ini juga dijangka memudahkan para pembangun dalam membangunkan pelbagai kandungan dan penawaran untuk pengguna melaluinya.
Buat masa ini, Snap menawarkan kaca mata pintar ini kepada pembangun terlebih dahulu – membolehkan mereka membangunkan aplikasi, serta mencubanya dalam pelbagai perkara. Ia ditawarkan utnuk pembangun di Amerika Syarikat pada langganan $99 sebulan.