Carian
HTC
HTC Vive Focus Vision Dilancarkan Dengan Fokus Terhadap Gaming
September 19, 2024 Nazrin

HTC Vive merupakan sebuah set aksesori realiti maya yang secara lazimnya hadir dengan fokus terhadap gaming. HTC dan Valve telah bekerjasama untuk membangunkan set kepala ini untuk menjadikan gaming menggunakan teknologi realiti maya sebuah realiti, dan HTC Vive Focus Vision merupakan percubaan terbaru mereka kearah tersebut.

Ia merupakan versi terbaru set kepala HTC Vive Focus, yang sebelum ini memperlihatkan fokus terhadap penggunaan industri seperti pendidikan, kolaborasi antara syarikat dan pelbagai jenis aplikasi realiti gabungan.

Diantara ciri-ciri baru yang diperlihatkan pada Vive Focus Vision termasuklah penjejakan mata dan juga pengiraan jarak antara anak mata secara automatik, dua kamera 16MP yang memberikan gambaran jelas apabila menggunakan mod pass-through, sudut pandangan 120 darjah dan kadar segar semula 90Hz untuk mengurangkan rasa mabuk dan pening kepala apabila menggunakan set kepala ini.

Apa yang menarik mengenai Vive Focus Vision ialah ia kini hadir dengan sokongan untuk penggunaan tanpa kabel, ataupun dengan kabel DisplayPort untuk mendapatkan kadar grafik yang lebih tinggi. Dalam pada itu, Vive Focus Vision ini juga akan memperlihatkan kadar segar semula 120Hz melalui DisplayPort dalam kemaskini akan datang.

HTC mengatakan juga bahawa jika anda memiliki banyak permainan SteamVR didalam koleksi anda dan memiliki sebuah komputer desktop atau komputer riba gaming berkuasa, anda boleh menggunakan mod DisplayPort secara terus pada kad grafik untuk mendapatkan pengalaman gaming yang sangat mendalam.

Pra-tempahan untuk HTC Vive Focus Vision sudahpun dibuka pada harga €1,229.00 (~RM5800) dan jika anda pra-tempahnya sekarang, anda boleh mendapatkan Vive Wired Streaming Kit secara percuma juga.

Komen