Carian
YouTube Hype Diperkenalkan Untuk Membantu Menaikkan Saluran Pencipta Kandungan Kecil
September 19, 2024 Fahim Zahar

Adakah saya seorang sahaja atau anda juga alami perkara yang sama, apabila mencari video di YouTube kini ia kerap mencadangkan saluran yang kurang terkenal dan dari pencipta kandungan kecil yang baru bermula? YouTube baru sahaja mengumumkan Hype untuk pengguna membantu pencipta kandungan kecil menjadi lebih popular.

Ciri ini adalah untuk video YouTube yang telah diterbit kurang dari 7 hari dengan pelanggan bawah 500,000. Hype adalah berbeza dengan Like atau Subscribe kerana ia tidak akan mengganggu cadangan kandungan pengguna, sebaliknya hanya memberi mata kepada pencipta kandungan. Hype boleh dilakukan sebanyak 3 kali seminggu dan video paling Hype akan berada dalam papan skor 100 video paling Hype mengikut negara. Video ini akan terus menjadi popular dah lebih mudah sampai ke cadangan kandungan orang ramai.

Menurut YouTube, ia adalah seakan program biayasama di mana anda menerima kandungan popular yang boleh menjadi video kegemaran dan pada masa yang sama pencipta kandungan kegemaran baharu anda ini turut menjadi lebih terkenal. YouTube menguji di Amerika, Jepun dan Jerman yang menerima 80% maklum balas oleh golongan Gen Z yang bersetuju untuk membantu pencipta kandungan kecil.

Buat masa ini Hype ditawarkan kepada golongan kecil di Brazil, Taiwan dan Turki. Ia akan dikembangkan secara berperingkat mengikut maklum balas orang ramai. YouTube turut merancang untuk menjual kredit Hype, agar pengguna boleh hype-kan video pencipta kandungan kecil dengan lebih 3 kali seminggu.

Communities serba baharu pula menjadikan saluran YouTube sebagai platform media sosial kecil. Ia menggunakan konsep komen dan Like yang sama pada video YouTube tetapi berada di dalam ruangan tersendiri. Ia juga dikawal oleh pemilik saluran dan mereka boleh memilih siapa yang menyertai. Setiap perbualan dan komen boleh dikongsi, menjadikan ia tempat tertutup dengan golongan terpilih memberi maklum balas mengenai video sedia ada atau idea baharu.

  • YouTube [1], [2]
Komen