Kotak Intel Core Ultra 9 285K Tertiris – Memperlihatkan Rekaan Dan Penjenamaan Serba Baharu
Nazrin
Intel dijangka akan memperkenalkan siri cip pemprosesan desktop terbaru mereka, Arrow Lake sekitar penghujung bulan Oktober kelak. Ini juga merupakan kali pertama siri CPU desktop akan memperlihatkan penjenamaan baru Intel Core Ultra yang sebelum ini diperlihatkan pada siri cip pemprosesan komputer riba Intel Meteor Lake.
Dengan itu, Intel juga nampaknya telah menukar rekaan dan penjenamaan kotak yang menyimpan CPU-CPU ini, dan terkini rekaan untuk kotak CPU Intel Core Ultra 9 285K sudahpun tertiris ke arena web. Model ini dinamakan secara khusus kerana untuk siri Intel Core Ultra 9 Arrow Lake, hanya satu variasi akan diperkenalkan.

Intel Core Ultra 9 285K akan hadir dengan 24 teras yang terdiri daripada lapan teras prestasi Lion Cove dan 16 teras kecekapan Skymont. Sama seperti cip pemprosesan Intel Lunar Lake yang diperkenalkan baru-baru ini, ia juga tidak akan hadir dengan kemampuan hyper-threading.
Setakat ini, ia juga dilihat bahawa Intel sekali lagi tidak akan memperkenalkan penyejuk untuk CPU ini, dan pembina PC akan perlu menggunakan penyejuk parti ketiga untuk binaan PC mereka. Ia dijangka bahawa papan-papan induk Intel Z890 akan menyokong penyejuk yang digunakan untuk generasi sebelumnya.
[sumber]VideoCardz[/sumber]