Carian
Pratempah Siri Huawei Watch GT 5 Dibuka Di Malaysia Dengan Deposit RM60
September 20, 2024 Amy Maizuraa

Huawei memaklumkan bahawa sesi pratempahan untuk dua jam tangan baharunya di bawah siri Watch GT5 kini dibuka. Anda yang berminat boleh berbuat demikian dengan meletakkan deposit sebanyak RM60. Selain itu berpeluang menerima hadiah menarik bernilai sehingga RM528 untuk pembelian Watch GT5 Pro, sementara itu Watch GT5 pula diberikan hadiah RM478. Pratempah boleh dibuat melalui kedai rasmi Huawei sama ada di laman web utama, Lazada, Shopee dan TikTok.

Huawei Watch GT5 didatangkan dalam dua pilihan saiz iaitu 41mm dan 46mm. Kedua-duanya juga mengekalkan saiz skrin yang sama seperti tahun lalu – 1.32-inci untuk yang kecil sementara itu 1.43-inci pula bersaiz besar. Huawei melengkapkan jam tangan ini dengan kemasan menawan dan mewah melalui tubuh keluli tahan karat. Selain itu terdapat juga pilihan tali jam sejenis logam, kulit, plastik dan tenun untuk dipilih.

Peningkatan paling ketara pada model tahun ini ialah sensor belakang TruSense System baharu yang meningkatkan kapasiti pemprosesan data sebanyak 15% lebih baik. Selain turut mampu mengurangkan kadar kehilangan isyarat sebanyak 20% dan meningkatkan ketepatan pemantauan kadar denyutan jantung terutamanya semasa bersenam. Ini nampaknya membolehkan jam tangan ini mengumpul rangkaian data yang lebih luas, dan menyediakan ketepatan maklumat yang boleh dipercayai secara konsisten.

Sokongan ECG dan penjejakan kitaran haid juga menawarkan sistem penjagaan yang lebih komprehensif dalam aplikasi Huawei Health. Fungsi Sleep Breathing Awareness turut dinaiktaraf dengan sokongan Sleep Apnea Detection. Dengan lebih 100 mod sukan disediakan pula membolehkan pengguna kekal cergas di samping mendapatkan data kecergasan secara masa nyata terus daripada jam tangan.

Ia juga pilihan ideal untuk mereka yang mementingkan ciri pintar pada seutas jam tangan, dengan keupayaan menerima panggilan, membalas teks (papan kekunci penuh disediakan), NFC yang menggantikan kad fizikal dan sebagainya disediakan bersama. Seperti kebiasaan jam tangan pintar Huawei mampu menyediakan ketahanan yang panjang maksimum dua minggu melalui penggunaan biasa. Dalam msa sama diberi penarafa IP69K yang dikatakan mampu bertahan terhadap wap tekanan tinggi atau pancutan air panas.

Huawei Watch GT5 Pro juga didatangkan dalam dua pilihan saiz iaitu 42mm dan 46mm. Ia mempunyai kemasan yang premium dan mewah melalui gabungan bahan Aloi titanium gred aeroangkasa yang bukan sahaja memberikan penampilan anggun tetapi juga rasa ringan dan kukuh. Skrin juga dilapisi dengan kaca nilam untuk ketahanan lebih baik.

Seperti Watch GT5, pelbagai ciri kesihatan dan kecergasan terbina diberikan namun paling menonjol ialah kemampuan menjejak ECG dengan pengiraan masa lebih kurang 30 saat. Selain itu membolehkan pengguna memuat turutn peta laluan, serta mod padang Golf yang baru diperkenalkan. Pengguna dikatakan boleh memuat-turun 15,000 peta padang golf dari seluruh dunia bagi tujuan menganalis susun atur padang dengan pemetaan 3D dalam masa nyata. Seterusnya membolehkan mereka menyusun strategi untuk setiap pukulan bola.

Watch GT5 Pro juga diberikan penarafan IP69K di samping mempunyai lapisan tahan kakisan khusus pada keseluruhan tubuh. Bateri diberikan pula boleh bertahan 5 hari dengan Always On Display dan sehingga 7 hari dengan penggunaan biasa untuk saiz yang kecil. Sementara itu Watch GT5 Pro 46mm pula boleh bertahan maksimum dua minggu dengan penggunaan biasa dan Always On Display yang diaktifkan secara berkala.

Komen