Carian
Luminate Memperlihatkan “Topi Keledar Kemoterapi” Untuk Pesakit Kanser
September 20, 2024 Nazrin

Salah satu rawatan yang paling berkesan untuk pesakit kanser ialah untuk melalui rawatan kemoterapi yang akan membunuh sel-sel kanser didalam tubuh. Akan tetapi rawatan ini juga secara lazimnya akan hadir dengan kesan-kesan sampingan dimana salah satunya ialah keguguran rambut.

Rawatan kemoterapi secara lazimnya dilakukan dengan menyuntik ubat-ubatan kedalam badan pesakit untuk membunuh sel-sel kanser, tetapi hadir dengan kesan sampingan seperti lesu, rasa mual dan keguguran rambut.

Luminate Medical, sebuah syarikat pembuat kelengkapan perubatan dilaporkan sedang menguji sebuah kelengkapan perubatan baru yang diharap dapat membantu mengurangkan isu keguguran rambut apabila melalui rawatan kemoterapi ini.

Secara ringkasnya, “topi keledar” Luminate ini memampatkan saluran darah ke kepala secara lembut untuk memastikan bahawa ubat kemoterapi ini tidak memasuki kawasan tersebut. Dinamakan Lily, alat ini dibangunkan sejak 2021 dan kini sedang melalui fasa ujian untuk mengeuji keberkesanan produk ini.

Syarikat tersebut juga mengatakan bahawa risiko berkenaan sekatan pengaliran darah juga bukanlah satu isu kerana terapi mampatan adalah sesuatu yang sudah diuji dan dilihat sebagai selamat digunakan oleh orang ramai.

Walaubagaimanapun, seperti yang dikatakan sebelum ini, perkakasan Lily ini masih diuji untuk keberkesanan dan keselamatan penggunaannya. Buat masa ini, beberapa pesakit kanser sudahpun diuji dengan kelengkapan ini, dan menjalani 4-12 rawatan kemoterapi dan masih mempunyai rambut di kepala mereka.

Luminate kini dilihat mahu memasuki fasa ujian tambahan di beberapa lokasi di Amerika Syarikat, termasukklah New York, Florida dan mungkin Ohio. Ia dijangka bahawa jumlah pesakit yang akan membantu menguji Lily ialah seramai 85 orang dalam tempoh beberapa bulan bermula dari bulan November ini.

Komen