Tablet Huawei MatePad Pro 12.2″ Turut Boleh Dipratempah Bermula Hari Ini
Amy Maizuraa
Huawei turut berkongsi bahawa tablet baharu MatePad Pro 12.2″ sudah boleh dipratempah di Malaysia. Sesiapa yang berminat boleh berbuat demikian dengan meletakkan deposit RM100 melalui mana-mana kedai atas talian rasmi Huawei Malaysia. Hadiah bernilai RM1,847 yang termasuk Huawei Glide Keyboard, Huawei M-Pencil (Powered by Nearlink) dan Huawei Bluetooh Mouse turut diberikan untuk setiap pembelian.

Seperti namanya tablet ini menawarkan skrin sebesar 12.2″ Tandem OLED PaperMatte Display beresolusi 2.8K dengan kadar segar semula 144Hz. Teknologi ini juga menawarkan kecerahan 2000nits yang mampu skrin lebih terang meskipun digunakan dalam kawasan terbuka. Selain mampu mengurangkan silau dengan baik sambil memberi pengalaman menulis seperti kertas menggunakan stylus Huawei M-Pencil (3rd generation).

Tiada butiran mengenai cip pemprosesan namun memori 12GB RAM dan storan 512GB disertakan pada tablet. Dalam masa sama menjalankan perisian HarmonyOS 4.2 terkini untuk pengalaman penggunaan lebih baik khususnya dalam kalangan pengguna moden. Ia juga dilengkapi aplikasi Go Paint yang sesuai untuk melukis dengan lebih 130 jenis berus unik dan 320 lapisan kanvas disediakan.

Istimewanya lagi apabila terdapatnya fungsi New Batik yang ditawarkan secara eksklusif untuk pasaran Malaysia sahaja. Paling penting sudah tentulah aplikasi ini disediakan secara percuma tanpa sebarang caj bayaran tambahan. Sistem kamera pula terdiri dengan 13MP (utama) + 8MP ultra lebar dan swafoto sebesar 8MP. Bateri 10,100mAh digunakan pula boleh dicas melalui port USB-C dan pengecasan berwayar 40W.
Lain-lain spesifikasi termasuk Bluetooth 5.2, pengimbas cap jari sisi, dan pembesar suara dengan Huawei Sound. Papan kekunci serba baharu yang disertakan juga mempunyai slot tersembunyi bagi tujuan simpanan dan mengecas stylus secara magnetik terus dalam papan kekunci.