Siri iPhone 16 telah pun dilancarkan di Malaysia hari ini secara rasmi. Semua yang menempah kini boleh mengambilnya dan terus membeli di kedai-kedai rasmi lain. Di Amanz, peranti ini telah tiba sejak semalam dan dalam artikel ini akan saya kongsi pengalaman penggunaan selepas satu hari untuk memberi tahu anda adakah berbaloi membeli iPhone 16 atau patut pilih iPhone 16 Pro?
SPESIFIKASI DAN REKAAN
Skrin | 6.1″ OLED, 2556 x 1179 (460 PPI) 60Hz, 2000 nits, Dolby Vision, Dynamic Island |
CPU/GPU | A18 (3nm) CPU 6‑Teras, 2+4 GPU 5‑Teras Enjin Neural 16-Teras |
Memori/Storan | 8GB RAM 128/256/512 GB |
Kamera Belakang | 48MP Fusion, ƒ/1.6, sensor‑shift, 2x Telephoto 12MP Sudut Ultra Lebar, ƒ/2.2, 4x Zum Optikal Camera Control Spatial Audio Audio Mix |
Kamera Hadapan | 12MP ƒ/1.9 TrueDepth |
Audio | Speaker stereo |
Biometri | Face ID |
Perlindungan | IP68 |
Bateri | ~3,561mAh Berwayar mencapai 45W MagSafe 25W Qi2 15W Qi 7.5W |
Harga | Ultramarine/Teal/Pink/White/Black 128GB – RM3999 256GB – RM4499 512GB – RM5499 |
Pertama sekali adalah rekaan, di mana selepas enam tahun Apple kembali menggunakan rekaan dwi-kamera disusun secara menegak. Kali ini menggabungkan elemen rekaan iPhone XS, iPhone 11 dan iPhone 15 menjadi bonggol dan lensa yang kelihatan lebih cantik dan kemas. Cuma, ia tidak seimbang di permukaan yang rata walaupun sudah menyarungkan kerangka pelindung rasmi.
Seterusnya mengenai rekaan adalah pilihan warna baharu yang menarik. Di Amanz, kami menguji warna biru Ultramarine yang nampak terang dan cantik. Ia sesuai untuk kedua-dua pengguna lelaki yang maskulin dan juga wanita. iPhone 16 juga adalah iPhone generasi baharu mampu milik pertama yang tiada lagi suis lungsur notifikasi kerana digantikan dengan Action Button. Butang ini boleh dikustomasi dengan pelbagai aksi. Butang kedua adalah Camera Control yang Apple tidak mengaku ianya butang. Ini kerana ia khusus untuk kawalan ciri dan fungsi berkaitan kamera dengan kesan haptik serta pad sesentuh.
PENGALAMAN PENGGUNAAN
Sebaik sahaja saya memindahkan data-data iPhone lama ke iPhone 16, saya sedari yang skrin peranti 6.1-inci kecil dan kompak. Ia sangat terang, cantik dan terasa pantas. Pada awal penggunaan saya tidak dapat rasakan pergerakan skrin perlahan 60Hz, sehinggalah kawan saya tegur – saya tidak lagi merasakan skrin sesentuh yang pantas dan kini mempunyai ilusi ianya mempunyai lengah masa.
Cip A18 juga menarik kerana selepas bertahun model bukan Pro mengitar semula cip model Pro generasi lama. Misalnya iPhone 15 menggunakan cip iPhone 14 Pro. Ini secara tidak langsung memberikan akses Apple Intelligence kepada iPhone 16. Apa yang mendukacitakan adalah, kerana cip ini bukan Pro dan direka untuk iPhone “mampu milik” – ia tidak menyokong permainan grafik tinggi seperti Resident Evil 4 atau Stray.
Disebabkan saya telah menggunakan iOS 18 sejak fasa ujian pembangun, saya tidak dapat dan lihat perbezaan ketara pada iPhone 16 selain ia terasa sedikit lebih stabil. Kemudian bateri juga saya rasakan lebih tahan lama berbanding iPhone 15 Plus kerana penggunaan dari 2 pagi semalam ke 3.45 petang hari ini, penggunaan saya direkodkan untuk hampir 9 jam. Dengan pengecasan pantas mencapai 45W, saya dapat mengecas iPhone 16 ini dari 0% ke 100% dalam tempoh kurang satu jam.
Ciri kustomasi iOS 18 juga terasa aneh, seperti widget yang boleh tukar saiz atau ikon aplikasi yang boleh berubah menjadi widget mempunyai indikasi yang tidak konsisten. Kejap bergantung kepada menu dan kejap kepada ruangan kustomasi dengan indikasi khas. Apa yang saya puji adalah, tetapan sistem iOS 18 kini lebih teratur seakan Android stok. Control Center baharu turut saya gemari, cuma hemat saya ia lebih seronok jika peranti mempunyai saiz skrin lebih besar.
Ketika saya sedang menulis artikel ini, saya tidak mempunyai masa mencukupi menguji permua dengan grafik tinggi ataupun melakukan ujian penanda aras. Apa yang saya boleh sahkan adalah, penggunaan memori peranti ini jelas sekali lebih efisien dan peranti memang rasa pantas. Saya yakin jika model iPhone 16 Pro dan 16 Pro Max adalah lebih memuaskan.
KAMERA + CAMERA CONTROL
iPhone 16 masih menggunakan konfigurasi dwi-kamera. Sukar untuk saya maafkan walaupun Apple berjaya memuatkan kemampuan telefoto optikal pada sensor sudut ultra-lebar tetapi cubaan Apple kali ini cukup menarik. Sensor utama 48MP Fusion mempunyai sistem penstabilan Sensor-Shift dengan Pixel-Binning imej ke 12MP/24MP. Sokongan telefoto adalah 2x optikal dan pada sensor 12MP sudut ultra lebar turut mempunyai kemampuan zum optikal iaitu 4x.
Kamera iPhone 16 ini turut direka untuk menyokong Audio Mix dan rakaman video Spatial. Pada masa yang sama, Camera Control adalah kaedah kawalan kamera yang menarik. Butang pengatup yang bukan butang ini menyokong kawalan tekan sekali, tekan dua kali, tekan lembut dua kali dan banyak lagi. Kesan haptiknya memberi pengalaman penggunaan yang menarik di mana sekitar satu ke dua hari saya yakin semua orang akan mudah untuk membiasakan diri.
APPLE INTELLIGENCE
Bermula hari ini, Apple telah memberikan akses mencuba iOS 18.1 Beta Umum pertama dengan ciri awal Apple Intelligence. Itu pun terhad kepada menjana teks dan beberapa ciri pintar kecil lain. Lain-lain masih dalam fasa beta pembangunan. Agak mengecewakan yang dua syarikat teknologi gergasi iaitu Apple dan Google kedua-duanya tidak boleh menawarkan ciri atau fungsi baharu selepas peranti mahal mereka dibeli. Pixel 9 tanpa Android 15 dan iPhone 16 tanpa Apple Intelligence.
PATUT BELI KE TAK?
Saya adalah pengguna iPhone 15 Plus sebelum menggunakan iPhone 16. Apa yang saya alami sekarang saya rasakan adalah tidak berbaloi lagi-lagi unit 512GB yang berharga RM5,499. Pengguna iPhone 14 pun saya tidak akan sarankan membeli iPhone 16. Kenapa? Pertama kerana skrin masih 60Hz, kedua adalah iPhone-iPhone moden mempunyai sokongan kemas kini sekurang-kurangnya 5 tahun dan banyak ciri AI yang dihebohkan masih tidak boleh digunakan.
Jika sekadar ingin membeli iPhone 16 kerana dua butang baharu yang salah satunya Apple tidak mahu mengaku ianya butang dan rekaan susunan kamera baharu, janganlah beli sehingga berhutang. Belilah jika anda tidak tahu ingin buat dengan duit lebih yang ada atau jika anda benar-benar ingin menggunakan Apple Intelligence apabila ia sudah sedia nanti.
KELEBIHAN
- Kamera yang semakin cantik.
- Camera Control dan Action Button yang agak menarik.
- Skrin yang nampak lebih jelas serta sedap mata memandang.
- Prestasi harian yang terasa pantas.
- Akhirnya rekaan kelihatan sedikit segara berbanding sebelum ini.
KEKURANGAN
- Skrin masih terhad dengan 60Hz.
- Kamera masih terhad kepada dua sensor.
- Banyak ciri baharu hanya janji dalam kemas kini akan datang.
- Cip baharu, tetapi tidak menyokong permainan generasi baharu.
- Ciri kustomasi iOS 18 kelihatan aneh.