Samsung Dan TSMC Berbincang Untuk Membuka Kilang Pengeluaran Cip Di UAE
Nazrin
Syarikat-syarikat pengilang cip pemprosesan seperti Intel, Samsung, TSMC dan sebagainya rata-rata kini sedang mula mengembangkan sayap pengeluaran mereka ke negara-negara berbeza untuk memastikan bahawa bekalan cip sentiasa tersedia.
Hari ini, Wall Street Journal telah melaporkan bahawa dua syarikat teknologi besar, Samsung dan Taiwan Semiconductor Manufacturing Company (TSMC) sedang berbincang dengan kerajaan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) untuk membuka kilang pengeluaran cip semikonduktor di negara tersebut.
Kedua-dua syarikat ini telah ke negara tersebut baru-baru ini untuk berbincang tentang perkara tersebut sebagai salah satu lokasi dimana mereka mungkin boleh membuka kilang baru. Akan tetapi, kedua-dua syarikat ini masih lagi dalam fasa perbincangan dengan kerajaan UAE, dan setakat ini, mereka juga mungkin tidak akan membuka kilang di negara ini.
Pengilangan cip semikonduktor adalah sesuatu yang sukar untuk dilakukan kerana keperluan bekalan elektrik dan air yang konsisten, dan juga kepakaran dan tenaga kerja untuk mengendali kelengkapan elektronik yang sangat rumit sekali.
TSMC sudahpun mula mengeluarkan cip pemprosesan Apple A16 Bionic di kilang baru mereka di Arizona, dan sedang membangunkan kilang baru di Eropah. Samsung pula setakat ini masih lagi sedang mencari lokasi untuk membangunkan kilang yang dilihat bukan sahaja akan mengeluarkan cip pemprosesan berkuasa, tetapi juga cip memori yang diperlukan oleh pelbagai jenis peranti elektronik.
[sumber]Wall Street Journal[/sumber]
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.