Intel Nova Lake Dijangka Menggantikan Arrow Lake Dengan Rekaan Pemproses Serba Baharu
Nazrin
Intel Arrow Lake dijangka akan dilancarkan sekitar penghujung bulan Oktober kelak, dan terkini, nampaknya terdapat beberapa perkara menarik yang tertiris berkenaan masa hadapan cip pemprosesan keluaran Intel.
Pertama ialah mengenai siri cip pemprosesan Intel Arrow Lake-S yang akan tiba. Beberapa peniris maklumat komponen komputer telah mengatakan bahawa cip pemprosesan tersebut akan digunakan untuk dua ke tiga tahun sementara menunggu untuk siri cip pemprosesan akan datang, Nova Lake untuk tiba.
Perkara ini agak menarik kerana baru-baru ini, beberapa butiran telah tertiris mengenai teras pemprosesan baru yang sedang dibangunkan oleh Intel yang dinamakan Royal Core. Royal Core dilihat akan menggantikan teras pemprosesan Lion Cove yang digunakan didalam cip pemprosesan Intel Lunar Lake dan juga Arrow Lake yang akan dijual tidak lama lagi.

Perkara ini dilihat unik kerana peniris yang sama mengatakan bahawa Intel Arrow Lake tidak akan hadir dengan kemaskini arkitektur seperti apa yang diperlihatkan pada Raptor Lake dan Raptor Lake Refresh. Ini bermakna bahawa sehingga cip pemprosesan Nova Lake tiba, Intel tidak akan memperkenalkan cip pemprosesan baru untuk kira-kira dua atau tiga tahun akan datang.
Tidak banyak yang diketahui mengenai cip pemprosesan Intel Nova Lake buat masa ini, tetapi ia berkemungkinan besar akan menggunakan teras Royal Core baharu yang juga tertiris melalui laman web LinkedIn seorang jurutera Intel.
Apa yang menarik mengenai teras ini ialah ia dilihat mahu menggabungkan kedua-dua prestasi dan juga kecekapan penggunaan tenaga dalam satu, menjadikannya sebuah teras cip pemprosesan yang benar-benar boleh menandingi penawaran dari Qualcomm dan juga Apple.
Akan tetapi, seperti apa yang dikatakan, siri cip pemprosesan Nova Lake ini hanya akan tiba ke pasaran dalam kira-kira dua ke tiga tahun lagi. Walaupun begitu, pengganti kepada Nova Lake nampaknya juga telah tertiris dengan nama Razer Lake.