Butiran Mengenai Cip Pemprosesan AMD Ryzen Z2 Extreme Tertiris
Nazrin
AMD dijangka akan memperkenalkan siri cip pemprosesan AMD Ryzen Z2 Extreme mereka pada awal tahun depan dengan memperlihatkan penawaran konsol permainan PC mudah-alih baru yang menggunakan cip pemprosesan tersebut.
Terkini, nampaknya sejumlah butiran dalaman mengenai cip pemprosesan tersebut telah tertiris ke arena web, yang mengatakan bahawa cip Ryzen Z2 Extreme ini akan menggunakan gabungan teras pemprosesan AMD Ryzen Zen 5 dan juga cip grafik AMD RDNA 3.5.

Dari segi jumlah teras, cip Ryzen Z2 Extreme nampaknya akan tampil menggunakan lapan teras fizikal, sama seperti apa yang diperlihatkan pada cip Ryzen Z1 Extreme. Dari segi komponen grafik pula, ia dilihat bahawa cip ini menggunakan 16 CU RDNA 3.5, empat lebih banyak berbanding cip grafik Radeon 780M yang digunakan didalam Ryzen Z1 Extreme.
Melalui dokumen yang diperlihatkan juga, ia berkemungkinan besar bahawa AMD Ryzen Z2 Extreme ini akan hadir dengan nilai TDP 28W, 13W lebih tinggi berbanding dengan Z1 Extreme, tetapi mungkin dengan prestasi yang jauh lebih hebat.
Setakat ini masih tiada konsol permainan PC yang diumumkan akan menggunakan cip pemprosesan AMD Ryzen Z2 Extreme ini, tetapi ia tidak mengejutkan sekiranya ASUS dan Lenovo akan menggunakan cip ini untuk kemaskini kepada konsol-konsol sedia ada mereka.
[sumber]VideoCardz[/sumber]