Ulasan OnePlus Nord 4 – Kembalinya Peranti RAM 28GB
Effi Saharudin
Tahun lalu OnePlus Nord 3 5G ialah antara peranti yang paling menarik pada hemat saya kerana ia dijual pada harga mampu milik tetapi ia masih dilengkapi spesifikasi yang menarik. Selepas mengulas OnePlus Nord 4 selama dua minggu saya boleh katakan peranti dengan RAM sehingga 28GB ini masih mengulangi kehebatan peranti tahun lalu dengan beberapa perubahan yang kecil.

SPESIFIKASI
| OnePlus Nord 3 5G | |
|---|---|
| Skrin | 6.74″ Fluid AMOLED FHD+, 120Hz, HDR10+ |
| Pemproses | Snapdragon 7+ Gen 3 (4nm) |
| Cip | 1 X 2.8 GHz Cortex X4 4 X 2.6 GHz Cortex A720 3 X 1.9 GHz Cortex A520 |
| Cip Grafik | Adreno 732 |
| RAM | 16GB LPDDR5X |
| Muatan Dalaman | 512GB UFS 4.0 |
| Kamera Utama | 50MP f/1.8 OIS (Sudut Lebar) 8MP f/2.2 (Ultra Sudut Lebar) 4K 60p |
| Kamera Swafoto | 16 Megapixel f/2.4 |
| Bateri | 5500 mAh Pengecasan berwayar 100W |
| SIM/Telefoni | Dwi SIM nano / 5G |
| NFC | Ya |
| Bicu Audio | Tiada |
| Kalis Air | IP65 |
| Sistem Imbasan | Pengimbas jari bawah skrin |
| Harga Jualan | RM 2599 (16/512GB) |
SKRIN
Skrin 6.74″ adalah dari jenis Fluid AMOLED dengan resolusi FHD+ dan sokongan 120Hz. Ia bukan dari jenis LTPO tetapi kadar segar semula boleh berubah secara dinamik antara 40-120Hz bergantung kepada aplikasi. Dari segi tahap ketahanan pula, skrin adalah dari jenis Panda Glass yang berbeza dengan teknologi Dragontrail tahun lalu.
Walaupun diiklankan dengan skrin 120Hz, dalam 90% situasi skrin hanya beroperasi pada kadar segar semula 90Hz. Skrin hanya dalam mod 120Hz ketika di muka depan dan aplikasi tertentu OnePlus. Ini adalah menerusi tetapan auto. Peranti masih boleh dipaksa untuk menggunakan mod 120Hz sepanjang masa tetapi ini akan memakan bateri.

Saya tidak berapa arif dengan Panda Glass tetapi selepas dua minggu kaca skrin masih belum bercalar walaupun beberapa kali tergores dengan kunci kereta dalam kocek. Ia boleh memaparkan kandungan HDR10+ dan resolusi HD sepanjang tempoh ulasan ia disokong secara rasmi pada aplikasi Netflix dan Prime Video. Sedikit mengecewakan tiada sokongan Dolby Vision pada peranti ini.
Keterangan dan sudut pandangan skrin adalah memuaskan. Di bawah cahaya matahari yang terik, kandungan tidak seterang pada skrin lebih mercu seperti S24 Ultra dan iPhone 16 Pro Max. Tetapi kesemua kekurangan yang saya nyatakan di atas boleh dimaafkan apabila mengambil kira harga jualan Nord 4.
PENGIMBAS CAP JARI
Pengimbas cap jari terbina di bawah skrin tetapi kedudukannya adalah agak rendah kerana betul-betul berhampiran bezel pada bahagian dagu skrin. Ia dari jenis optikal tetapi masih lagi cukup pantas dengan nyahkunci boleh dilakukan hampir sekelip mata. Seperti biasa terdapat juga pilihan imbasan menggunakan wajah.

REKAAN
Rekaan tubuh adalah sama sahaja dengan Nord 3 dimana sisi diperbuat daripada logam dengan ianya rata. Panel belakang sahaja sedikit berbeza kerana majoritinya diperbuat daripada logam dengan bahagian atas sahaja diperbuat daripada kaca. Ini menghasilkan rekaan dwi-tona yang nampak menarik dengan terdapat ilusi bahagian logam mempunyai kesan berombak. Tetapi jangan tertipu kerana ianya masih lagi rata bagi memastikan ia selesa di dalam tangan pengguna.

Dua bonggol kamera adalah tidak begitu tinggi dengan ia dikelilingi gelung logam. Oleh sebab peranti tidak terjungkit teruk apabila diletakkan di atas meja. Tahun ini kamera disusun mendatar dan bukan lagi mendatar. Nampak agak pelik dan saya rasakan susunan kamera Nord 3 nampak lebih cantik.
Terdapat butang lungsur untuk mematikan serta menghidupkan notifikasi serta mengaktifkan mod getaran sahaja. Ini ialah tradisi OnePlus yang masih dikekalkan. Pada bahagian kanan pula terdapat butang laras audio dan kuasa yang diperbuat daripada logam. Binaannya teguh memastikan Nord 4 tidak terasa seperti sebuah peranti murahan.

Di bahagian atas terdapat lubang mikrofon, lubang speaker dan pemancar infra merah membolehkan peranti digunakan sebagai alat kawalan jauh. Sementara itu di bahagian bawah pula terdapat port pengecasan USB-C, lubang speaker dan talam untuk dwi SIM nano. Tiada ruang untuk kad mikro SD maka storan peranti tidak boleh ditambah.

Peranti amatlah selesa di dalam tangan keran kemasan bingkai logam dan panel belakang tidak licin jika dibandingkan dengan peranti berpanel kaca. Penggunaan bahan logam juga mengelakkan isu badan peranti cepat nampak kotor kerana memerangkap cap jari. Satu lagi penambahbaikan yang dilakukan OnePlus ialah tahun ini Nord 4 melepasi piawaian IP65 yang lebih baik berbanding IP54 sahaja pada Nord 3.
PENGGUNAAN DAN PERISIAN – OxygenOS 14.1
OxygenOS 14.1 digunakan dengan ia berasaskan Android 14. Versi baharu tetapi apabila saya melihat tangkapan layar OxygenOS 13.1 tiada perubahan besar dapat dilihat. Masih lagi menggunakan rekaan minimalis yang mudah difahami dan dipakai walaupun tanpa manual. Saya tiada isu dengan antaramuka yang tidak mempunyai perubahan yang besar tetapi saya tahu ada sebilangan pembaca yang merasakan perubahan perlu dilakukan supaya antaramuka tidak nampak membosankan.

Sepanjang dua minggu digunakan saya tidak mengalami sebarang isu. Semuanya pantas dan lancar dibantu oleh saiz 16GB RAM yang besar serta pemproses yang berkuasa. Jika anda merasakan 16GB masih tidak cukup, ciri RAM Expansion boleh menambah sehingga 12GB lagi RAM secara maya. Telefon ini boleh mempunyai sehingga 28GB RAM seperti Nord 3.
Saya rasakan memori 16GB asas yang diberikan adalah lebih daripada mencukupi. Pemasangan aktif juga pantas kerana penggunaan memori dari jenis UFS 4.0 yang digunakan pada peranti mercu Android 2024.

Bagi yang mencari nilai tambahan terdapat Kid’s Mode, Zen Mode, O Relax, Smart Sidebar, Simple Mode, pelbagai gestur pantas dan mod sebelah tangan. Tak lengkap peranti 2024 jika ciri kecerdasan buatan (AI) tidak disertakan. Ciri paling menarik ialah aplikasi rakaman audio boleh menghasilkan transkrip dan rangkuman audio panjang dalam masa beberapa saat. Amat berguna untuk mereka yang mungkin tidak mempunyai masa untuk mendengar semula rakaman temubual yang panjang.

AI Writer memberikan saranan penulisan dengan tona Concise, Detailed dan Polite yang boleh dipilih sendiri oleh pengguna. AI Eraser pula melakukan suntingan gambar secara automatik berdasarkan kawasan yang ingin dipadam. Sistem ini masih belum sempurna kerana kadang kala bahagian yang dijana AI nampak sedikit aneh. Ia paling serasi digunakan untuk memadam orang dan kenderaan. Apabila kawasan besar dipilih objek yang dijana nampak agak palsu.

AI Speak akan membaca laman web yang dibuka pada peranti. Tidak tahu mengapa ciri ini dilabel “AI” sedangkan ia sekadar ciri membaca skrin yang biasa sahaja. Akhir sekali ialah AI Summary yang melakukan rumusan artikel yang dibuka dalam pelayar web. Proses menghasilkan rumusan mengambil masa beberapa saat dengan topik-topik penting disenaraikan bagi memudahkan pemahaman.
Nord4 akan diberikan kemas kini empat versi Android dan enam tahun tampalan sekuriti. Ini adalah sokongan jangka panjang yang baik untuk peranti kelas pertengahan.
PENANDA ARAS – Snapdragon 7+ Gen 3
Cip Snapdragon 7+ Gen 3 adalah cip kelas pertengahan mercu yang dilengkapi teras Cortex X4 yang sama seperti pada Snapdragon 8 Gen 3. Maka ia mempunyai kemampuan memproses yang agak tinggi.

Saya telahpun melakukan ujian penanda aras biasa iaitu Geekbench 6, Antutu 3D dan 3D Mark. Keputusan ujian adalah seperti di bawah. Kami bandingkannya dengan cip Snapdragon 8 Gen 2 (OnePlus 11), Tensor G4 (Pixel 9 Pro XL), Snapdragon 7+ Gen 3 (Vivi V40 Pro), Dimensity 8300 Ultra (Poco X6 Pro), dan Dimensity 7350 Pro (Nothing Phone (2a) Plus).
Antutu 3D
- OnePlus Nord 4 – 1.049,461
- Vivo V40 Pro -1,524,100
- Poco X6 Pro – 1,199,162
- Nothing Phone (2a) Plus – 774,822
- OnePlus 11 – 1,104,135
- Google Pixel 9 Pro XL – 1,016,712
Geekbench 6
- OnePlus Nord 4 – 1384/3932
- Vivo V40 Pro – 1798/5177
- Poco X6 Pro – 1311/4033
- Nothing Phone (2a) Plus – 1175/2604
- OnePlus 11 – 1495/4805
- Google Pixel 9 Pro XL – 1916/4644
3DMark Wild Life Extreme
- OnePlus Nord 4 – 2713
- Vivo V40 Pro – 3,824
- Poco X6 Pro – 2,053
- Nothing Phone (2a) Plus – 1172
- OnePlus 11 – 3712
- Google Pixel 9 Pro XL – 2567
Skor yang dicatatkan adalah agak tinggi kerana lebih baik berbanding Google Pixel 9 Pro XL dan hanya sedikit lebih rendah berbanding OnePlus 11. Majoriti permua seperti COD Mobile, Diablo Immortal dan Asphalt 9 boleh dijalankan pada tetapan grafik dan resolusi yang tinggi. Hanya permua lebih berat seperti COD Warzone Mobile dan Genshin Impact tidak boleh dimainkan pada tetapan tertinggi dengan kadar bingkai yang stabil.

TELEFONI Dan GPS
Rangkaian 5G boleh kami nikmati dengan kelajuan mencecah 1.4 Gbps dalam ujian yang dilakukan menggunakan rangkaian CelcomDigi. Panggilan selular kedengaran jelas khususnya menerusi VoLTE dan VoWiFi. Sebanyak dua SIM 5G bersaiz nano boleh digunakan pada peranti secara serentak. Prestasi WiFi juga pantas dengan sokongan sehingga WiFi 6. Prestasi GPS juga tidak mengecewakan dengan lokasi dapat dijejak dalam aplikasi dalam masa beberapa saat sahaja.

KAMERA
Sistem kamera utama di belakang hanya terdiri daripada lensa sudut lebar 50MP dengan OIS, dan ultra sudut 8MP. Di hadapan pula sensor 16MP digunakan untuk kamera swafoto. Sensor utama 50MP di belakang ialah sensor Sony Lytia LYT-600 menggantikan sensor Sony IMX890 pada Nord 3. Sensor tahun ini lebih kecil walaupun ia adalah lebih baharu. Tiada lagi sensor makro pada bahagian belakang. Saya tidak meratapi kehilangan sensor makro kerana tahun lalu ia ciri yang saya rasakan gimik kerana kualiti gambar yang tidak memuaskan.
Kemampuan kamera adalah amat baik dengan penghasilan warna yang nampak hidup, imej yang tajam dan kamera yang berfungsi dengan pantas. Dengan OIS, imej sentiasa nampak tajam lebih-lebih lagi dalam mod malam. Tetapi saya sedari penghasilan semula warna dan mod malam nampak lebih hidup pada Nord 3. Sensor LYT-600 sedikit sebanyak menjadi sebab mengapa ini berlaku.
Gambar ultra sudut lebar adalah sekadar memuaskan sahaja keran saiz sensor hanya 8MP. Untuk kualiti gambar yang baik saya sarankan gunakan kamera sudut lebar sahaja.






Prestasi zum adalah sederhana dengan kualiti gambar masih agak baik sehingga zum 5X. Di bawah ialah sampel gambar pada tetapan zum 1X, 2X, 10x dan 20X.




BATERI
Bateri 5500 mAh adalah amat besar untuk sebuah peranti kelas pertengahan. Dalam penggunaan biasa saya mendapati Nord 4 boleh bertahan sepanjang hari. Jika pengecas dicabut pada waktu pagi sebelum keluar ke pejabat, masih terdapat sekitar 15-20% bateri sebelum saya tidur sekitar jam 11 malam. Ini adalah hayat bateri yang amat baik.
Lebih baik ialah pengecasan 80W membolehkan bateri dicas sepenuhnya dari 0-100% dalam masa hanya 30 minit. Malang sekali OnePlus Malaysia tidak menawarkan pengecas di dalam kotak kerana hanya memberikan seutas kabel USB-A ke USB-C.
AUDIO
Audio dari speaker stereo adalah dibantu oleh sistem audio OReality. Ini ialah satu perubahan yang mungkin kurang popular kerana pada Nord 3 masih terdapat sokongan Dolby Atmos. Bunyi yang dihasilkan seimbang kerana terdapat lubang speaker menembak ke sisi pada bahagian atas serta bawah. Secara keseluruhan kualiti speaker adalah memuaskan.

PESAING
| OnePlus Nord 4 | Realme GT 6T | Vivo V40 Pro |
| 6.74″ Fluid AMOLED, FHD+, 120Hz, HDR10+ | 6.78″ LTPO AMOLED, FHD+, 120Hz | 6.78″ AMOLED, FHD+, 120Hz, HDR10+ |
| Snapdragon 7+ Gen 3(4nm) 1 X 2.8 GHz Cortex X4 4 X 2.6 GHz Cortex A720 3 X 1.9 GHz Cortex A520 | Snapdragon 7+ Gen 3(4nm) 1 X 2.8 GHz Cortex X4 4 X 2.6 GHz Cortex A720 3 X 1.9 GHz Cortex A520 | Dimensity 9200+ (4nm) 1 X 3.35 GHz Cortex X3 3 X 3.0 GHz Cortex A715 4 X 2.0 GHz Cortex A510 |
| Adreno 732 | Adreno 732 | Immortalis G715 MC11 |
| 16GB LPDDR5X | 12GB LPDRR5X | 12 GB LPDDR5X |
| 512 UFS 4.0 | 256 GB UFS 4.0 | 256 UFS 3.1 |
| Kamera Utama 50MP f/1.8, OIS (Sudut Lebar) 8MP f/2.2 (Ultra Sudut Lebar) 4K 60p | Kamera Utama 50MP f/1.9, OIS (Sudut Lebar) 8MP f/2.2 (Ultra Sudut Lebar) 4K 60p | Kamera Utama 50MP f/1.9, OIS (Sudut Lebar) 50MP f/2.0 (Ultra Sudut Lebar) 50MP f/1.9, OIS (Telefoto) 4K 30p Lensa Zeiss |
| Kamera Hadapan 16-Megapixel f/2.4 | Kamera Hadapan 32-Megapixel f/2.5 | Kamera Hadapan 50-Megapixel f/2.0 |
| IP65 | Tiada | IP68 |
| Tiada bicu audio | Tiada bicu audio | Tiada bicu audio |
| Audio Stereo | Audio Stereo | Audio Stereo |
| 5500 mAh (Berwayar 100W) | 5550mAh (Berwayar 120W) | 5500 mAh (Berwayar 80W) |
| RM 2599 (16/512GB) | RM 2399 (12/256GB) | RM 3299 (12/256GB) |
DALAM KOTAK
Berikut ialah apa yang diterima dalam kotak dengan pembelian.
- 1x OnePlus Nord 3 5G
- 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
- 1x Manual.
- 1x Pin SIM.

KESIMPULAN
OnePlus Nord 4 adalah peranti yang membawakan lebih banyak perubahan positif berbanding negatif kita dibandingkan dengan Nord 3. Saya sukakan pemproses yang lebih berkuasa, kamera yang tiada lagi lensa gimik makro, bateri lebih tahan lasak dan pengecasan yang lebih pantas. Penggunaan tubuh logam juga lebih baik kerana tidak memerangkap kotoran ditambah pula dengan kemampuan kali air serta debu meningkat ke IP65.

Tetapi perubahan hadir juga dengan sensor kamera yang lebih kecil pada lensa sudut lebar dan sistem audio yang kini tiada lagi Dolby Atmos. Saya juga kurang gemar dengan susunan kamera yang kini mendatar bukan menegak. Nampak kurang cantik jika dibandingkan dengan Nord 3. Akhir sekali peranti kini lebih mahal pada harga RM2599 tetapi dengan storan dua kali ganda lebih besar berbanding Nord 3.
Pro
- Skrin AMOLED 120Hz yang lancar.
- Snapdragon 7+ Gen 3 ialah cip kelas pertengahan yang berkuasa.
- Saiz 16GB RAM boleh ditingkatkan ke 28GB secara maya.
- Pengecasan pantas 100W.
- Kalis air dan debu IP65.
- Sokongan 4 versi Android dan tampalan sekuriti 6 tahun.
Kontra
- Susunan kamera mendatar kurang menarik.
- Tiada lagi Dolby Atmos.
- Dalam majoriti situasi skrin sekadar 90Hz.
- Tiada pengecas dalam kotak.
