Carian
Negara-Negara NATO Sedang Membangunkan Aplikasi Permesejan Mereka Sendiri
September 24, 2024 Nazrin

Kumpulan negara-negara NATO (North Atlantic Treaty Organization) kini dilaporkan sedang membangunkan sebuah aplikasi permesejan mereka sendiri yang menggunakan teknologi sumber terbuka untuk kegunaan diantara negara-negara ahli.

Dinamakan NATO Interoperable Instant Communication Environment ataupun NI2CE, aplikasi permesejan ini dilaporkan sedang dibangunkan oleh sebuah syarikat komunikasi yang bernama Matrix, yang dikenali untuk teknologi rangkaian terbuka dan terpencar (decentralized).

Penggunaan teknologi rangkaian terbuka dan permesejan terpencar ini bukanlah sesuatu yang baru. Ahli-ahli NATO seperti Jerman, Perancis, Poland, Austria, Sweden, United Kingdom dan Amerika Syarikat semuanya sudahpun menggunakan sistem permesejan oleh Matrix ini kerana penggunaan sumber terbuka, penyulitan yang terbina dan tidak terhad kepada syarikat yang membangunkan teknologi ini.

Malah, apa yang lebih menarik lagi ialah menurut Matrix, negara-negara NATO yang sudahpun mula menggunakan aplikasi permesejan mereka boleh menambah beberapa barisan kod untuk membolehkan aplikasi mereka berinteraksi dengan aplikasi permesejan negara-negara lain.

Dan dengan NI2CE, ia dilihat dapat membantu para pemimpin kerajaan dari kumpulan NATO ini untuk berkomunikasi dengan satu sama lain, khususnya apabila NATO kini mempunyai sebanyak 32 negara ahli didalamnya.

Jeroen Franssen, seorang pengurus komuniti di Innovation Branch of Allied Command Transformation in NATO mengatakan bahawa bukti konsep teknologi permesejan ini sedang diuji oleh 700 orang yang mewakili ahli-ahli NATO, dan kelak akan dilanjutkan ke lebih ramai pengguna apabila penggunaannya boleh diumumkan secara rasmi.

Lebih menarik lagi ialah protokol yang digunakan bukan sahaja boleh dimanfaatkan dalam aplikasi permesejan seperti WhatsApp dan Telegram, tetapi pada aplikasi kolaborasi berkumpulan seperti Microsoft Teams, Slack dan juga Discord.

Cabaran terbesar membangunkan teknologi dan protokol seperti ini hadir melalui pembangunan gerbang komunikasi yang bukan sahaja selamat, tetapi boleh menggabungkan pelbagai jenis aplikasi yang dibangunkan untuk komunikasi dalaman diantara kesemua negara-negara yang terlibat.

Setakat ini ia tidak diketahui lagi samada pihak NATO akan mahu menggunakan aplikasi permesejan ini untuk tujuan tertutup ataupun memperkenalkannya sebagai satu cara untuk semua rakyat di negara-negara kumpulan ini untuk mudah berkomunikasi dengan satu sama lain.

Komen