Ulasan Samsung Galaxy Watch7 – Rekaan Ringkas, Prestasi Tuntas
Rihhadatul Aisy
Kini jam tangan pintar telah menjadi sebahagian daripada pelengkap kepada aksesori individu yang mementingkan gaya hidup moden. Demikian itu, Samsung Galaxy Watch7 hadir sebagai salah satu pilihan menarik dalam pasaran. Jam tangan ini hadir dengan ciri serta fungsi yang dibina bagi memudahkan kehidupan seharian pengguna serta menjanjikan pengalaman penggunaan yang lebih baik.
Namun adakah janji tersebut benar-benar ditepati?. Maka menerusi artikel ulasan ini akan kami kongsikan pengalaman menggunakannya selama beberapa hari yang akhirnya mungkin dapat membantu pembaca Amanz untuk membuat penilaian.

SPESIFIKASI
| Samsung Galaxy Watch7 | |
| Skrin | 1.5 AMOLED, 480 x 480, 2000 nits |
| Pemproses | Exynos W1000 (3 nm) |
| Memori/Storan | 2GB RAM + Storan 32GB |
| Sistem Operasi | Wear OS 5 |
| Perlindungan | 5ATM IP68 |
| Sensor | Pengimbas nadi optikal, sensor pemecut,giroskop, sensor cahaya ambien, kompas elektronik,sensor barometer, sensor analisis impedans bioelektrik, fungsi pengecaman postur larian |
| Lain-Lain | GPS, Galileo, Glonass, BDS, QZSS, Bluetooth 5.3, Speaker Mikrofon, IP68 |
| Bateri | 425 mAh Pengecasan 10W |
| Bahan Binaan | Kerangka daripada aluminium, Skrin kaca kristal nilam, Tali jam getah |
| Harga | 40mm – RM1199 (BT) dan RM1499 (LTE) 44mm – RM1299 (BT) dan RM1599 (LTE) |
REKAAN
Samsung Galaxy Watch7 tampil dengan rekaan yang tidaklah begitu berbeza dengan model sebelum ini. Rekaannya hadir dengan bentuk bulat dengan pengekalan rupa seakan jam klasik tetapi disuntik dengan elemen moden dan anggun. Jam ini juga tersedia dalam dua saiz berbeza iaitu 44mm dan 40mm. Bagi saiz tubuh 44mm, ia hadir dengan skrin bersaiz 1.5” manakala untuk saiz tubuh 40mm pula, saiz skrin ialah 1.3”, AMOLED dengan paparan resolusi tinggi bersama perlindungan kaca Sapphire Crystal yang menjadikannya lebih tahan lasak.

Terdapat dua butang pada bahagian sisi kanan jam dengan kedua-duanya sedap ditekan dan berfungsi dengan baik. Tiada tombol yang boleh diputar pada bahagian sisi seperti kebanyakan rekaan jam tangan pintar di pasaran. Pada bahagian belakang pula terdapat sensor dengan binaan plastik yang selesa apabila diletakkan pada permukaan kulit tangan.


Satu perkara yang kami suka pada jam tangan pintar ini ialah keselesaan yang diberikan ketika memakainya. Ditambah pula dengan tubuhnya yang ringan iaitu hanya lebih kurang 28.9g dimana ia jauh lebih ringan jika dibandingkan dengan dua model jam tangan pintar yang pernah saya ulas sebelum ini iaitu Redmi Watch 4 dan Oppo Watch X. Rekabentuk seumpama ini menjadikan pemakaian jam sepanjang hari adalah selesa tanpa sebarang isu rimas atau tidak selesa.

Tali jam juga boleh ditukar mengikut kemahuan dengan mudah. Penawaran jam tangan ini hadir dengan dua pilihan warna untuk setiap satu saiz iaitu warna Hijau dan Perak untuk Galaxy Watch7 (44mm) dan warna Hijau dan Krim untuk Galaxy Watch7 (40mm).
PENGALAMAN PENGGUNAAN
Memakai jam tangan pintar Samsung Galaxy Watch7 ini kami boleh katakan seolah-olah memiliki sebuah telefon pintar mini yang diletakkan pada pergelangan tangan. Terdapat banyak aplikasi yang boleh berfungsi dengan baik. Bahkan saya cukup gemar dengan kelancaran ketika menatal skrin jam kerana ia terasa sangat lancar dengan ia bertindak dengan cukup responsif dan konsisten. Bukan itu sahaja, skrin juga memiliki tahap kecerahan puncak sehingga 2000 nits menjadikan tahap keterangan skrin adalah cukup baik walaupun berada di bawah cahaya matahari yang terik.
Penggunaan Samsung Galaxy Watch7 ini adalah bersama dengan aplikasi Samsung Wearable yang boleh dimuat turun secara percuma di Play Store. Proses sambungannya adalah cukup mudah dengan ia hanya memerlukan kami untuk menghidupkan bluetooth dan mengesahkan beberapa tetapan ringkas. Aplikasi Samsung Health juga diperlukan agar kesemua ciri kesihatan yang tersedia pada jam tangan ini dapat dimanfaatkan.

Samsung Galaxy Watch7 ini menggunakan sistem operasi Wear OS 5 yang menjadikan pengalaman penggunaan kami selama beberapa hari ini terasa lancar bersama tindak balas yang responsif. Menerusi sistem Wear OS 5 ini juga, terdapat lebih banyak pilihan untuk kami menyesuaikan latar belakang paparan skrin jam mengikut citarasa. Ia juga dilengkapi dengan gabungan memori 2GB RAM bersama storan 32GB.

Cukup berguna apabila jam tangan pintar ini turut disertakan dengan sesnor BioActive baharu yang dapat menjejaki kadar denyutan jantung, corak tidur dan pelbagai lagi aktiviti lain dengan ketepatan yang tinggi.
Kecanggihan jam tangan pintar ini diserlahkan lagi dengan penggunaan GPS Dwi- Frekuensi (L1+L5) yang membolehkannya menerima signal dari dua jalur frekuensi satelit yang berbeza sekaligus membolehkannya menghasilkan data lokasi yang lebih tepat. Sistem getarannya juga adalah sangat baik menjadikan kami tidak mudah terlepas pandang sekiranya menerima notifikasi.

Terdapat juga pelbagai aplikasi kecerdasan pada jam tangan ini yang dapat digunakan menerusi sensor yang terbina padanya. Antaranya ialah, penjejak kadar denyutan jantung, corak tidur dan banyak lagi dengan ketepatan tinggi. Fungsi pembayaran menggunakan Google Wallet dan ciri Google Assistant juga boleh digunakan bagi memudahkan urusan seharian pengguna.
Selain itu, ciri Body Composition juga disertakan dengan ia dapat mengukur pelbagai data kesihatan badan termasuklah kadar lemak, protein, BMI dan pelbagai lagi maklumat berguna untuk memantau keadaan dan kesihatan tubuh.
BATERI
Samsung Galaxy Watch7 hadir dengan kapasiti bateri sebesar 425 mAh bersama pengecasan nirwayar 10W yang kami boleh katakan sekadar memuaskan tetapi mungkin sedikit mengecewakan. Walau bagaimanapun, ia adalah amat bergantung kepada corak penggunaan si pemakai. Penggunaan normal seperti memeriksa notifikasi, memantau detak jantung dan corak waktu tidur selama beberapa jam membuatkannya boleh bertahan selama 1 atau 2 hari.

Tetapi sekiranya anda gemar bersukan dan menggunakan GPS serta mengaktifkan banyak ciri dalam satu masa maka penggunaan bateri pastinya akan lebih banyak menjadikan jangka hayat bateri menjadi lebih rendah. Ini memerlukan pengguna untuk perlu kerap mengecas semula jam tangan kerana ketahanan baterinya adalah agak lemah.
Masa yang diambil untuk pengecasan penuh pula dari 0% ke 100% pula mengambil masa sekitar 1 jam lebih. Menerusi setiap pembelian, pengguna kan menerima pengecas magnetik yang tersedia bersama dalam kotak.
APA DALAM KOTAK?
1x Samsung Galaxy Watch7
1x Pengecas magnet mudah alih dengan kepala USB-C
1x Set buku manual dan keselamatan

KESIMPULAN
Secara keseluruhannya, Samsung Galaxy Watch7 ini adalah sebuah jam tangan pintar yang berguna, canggih bersama dengan rekaan yang anggun serta sesuai untuk lelaki mahupun wanita. Fungsi-fungsi yang tersedia padanya juga mampu memberikan banyak manfaat kepada pengguna sekaligus menjadi pelengkap kepada gaya hidup moden. Meskipun begitu, harus saya akui ketahanan baterinya adalah sedikit mengecewakan dengan ia hanya mampu bertahan 2 hingga 3 hari sahaja dalam corak penggunaan biasa.

Apa yang boleh kami katakan, jika anda mahukan sebuah jam tangan pintar daripada jenama Samsung dengan bajet yang lebih rendah berbanding versi ultra maka anda boleh dapatkan Samsung Galaxy Watch7 ini. Harga yang ditawarkan untuk sebuah jam tangan pintar Galaxy Watch7 (40mm) ialah RM1199 (BT) dan RM1499 (LTE). Manakala, Galaxy Watch7 (44mm) pula berharga RM1299 (BT) dan RM1599 (LTE).
PRO
- Kalis air IP68.
- Tahap kecerahan puncak 2000 nits.
- Sensor yang baik untuk rekod kesihatan dan kecerdasan.
- Memiliki pengecasan magnetik.
KONTRA
- Bateri tidak tahan lama.
- Bezel agak tebal.
- Pengecasan agak perlahan dan terhad.
